Campus

Pameran industri perkukuh jaringan akademia dan industri sempena STML Green Carnival 2026

Gambar Sekretariat Stml Green Carnival 2026

SINTOK, 16 Julai 2026: Pameran Industri yang berlangsung di Bangunan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menjadi antara tarikan utama sempena STML Green Carnival 2026.

Dekan STML, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim berkata, pameran selama dua hari ini bertujuan memperkukuhkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan sektor industri, di samping memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peluang kerjaya, latihan industri, pembangunan profesional serta perkembangan terkini dalam pelbagai sektor.

Menurutnya, pameran ini menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, organisasi profesional dan syarikat industri yang menawarkan perkongsian maklumat, pameran teknologi, peluang latihan industri, prospek kerjaya serta khidmat konsultasi kepada para pengunjung.

Antara organisasi yang mengambil bahagian ialah Perodua, Honda, Modenas, Chery, Fastenal (Malaysia) Sdn. Bhd., Hilti Malaysia, SLB (Schlumberger Malaysia), MYNext Talent Corp, Zurich Malaysia, TM Unifi, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Negeri Kedah, Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM), KUBUDI, Unit Kaunseling UUM serta Career and University-Industry Collaboration Centre (CUIC) UUM yang turut menyediakan pelbagai maklumat berkaitan pembangunan kerjaya, latihan industri, pensijilan profesional, teknologi, kelestarian alam sekitar dan peluang pekerjaan.

Sepanjang pameran berlangsung, pelajar berpeluang berinteraksi secara langsung dengan wakil-wakil industri dan agensi bagi mendapatkan maklumat mengenai laluan kerjaya, keperluan semasa majikan, peluang latihan industri, pembangunan kemahiran serta prospek pekerjaan dalam pelbagai bidang.

Di samping itu, para peserta turut didedahkan kepada teknologi, produk dan perkhidmatan terkini yang mencerminkan perkembangan pesat dalam sektor automotif, logistik, tenaga, alam sekitar dan pembangunan modal insan.

Pameran ini bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar untuk membina jaringan profesional bersama pemain industri dan agensi berkaitan, malah meningkatkan kefahaman mereka terhadap keperluan pasaran pekerjaan serta kompetensi yang diperlukan untuk menjadi graduan yang berdaya saing. Penglibatan pelbagai agensi kerajaan, badan profesional dan syarikat swasta turut memperkayakan pengalaman peserta melalui perkongsian ilmu, khidmat nasihat serta peluang pembangunan kerjaya.

Pameran Industri STML Green Carnival 2026 berjaya mencapai objektif penganjurannya sebagai platform yang menghubungkan dunia akademik dengan industri.

Program ini mencerminkan komitmen STML dalam memperkukuhkan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak bagi melahirkan graduan yang berpengetahuan, kompeten dan bersedia memenuhi keperluan industri yang semakin dinamik. – Nurul Liana Mohd Arif

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button