Pelajar UUM diberi kepercayaan jadi juri Pertandingan Silibus Silat Seni Gayong Serantau Malaysia Peringkat Negeri Kedah dan Jemputan Kebangsaan 2026
Gambar PSSGSM UUM
SINTOK, 19 Julai 2026: Persatuan Silat Seni Gayong Serantau Malaysia (PSSGSM) Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia Cawangan Negeri Kedah serta sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah telah berjaya menganjurkan Pertandingan Silibus Silat Seni Gayong Serantau Malaysia Peringkat Negeri Kedah dan Jemputan Kebangsaan 2026.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu berjaya menghimpunkan penyertaan pesilat daripada sekolah, gelanggang awam dan pasukan jemputan kebangsaan bagi menguji tahap penguasaan silibus, kemahiran teknikal serta kefahaman terhadap warisan Silat Seni Gayong Malaysia.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa, diikuti persembahan khas jurulatih Silat Seni Gayong, tayangan montaj persediaan program serta ucapan daripada Pengarah Program, Ruzaini Ikhwan Ruslan Shah. Seterusnya, Yang Dipertua Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia merangkap Penasihat PSSGSM UUM, Mohd Fairus Abd Majid telah menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum sesi penyampaian sijil penghargaan kepada sekolah serta pasukan yang mengambil bahagian.
Sepanjang pertandingan berlangsung, pelbagai kategori telah dipertandingkan termasuk Seni Serangan Maut (Combat), Elakan Pukulan, Buah Tapak Kunci Mati, Seni Pentas Putih, Solo Kreatif dan Gerakan Kreatif yang melibatkan kategori Gelanggang Awam Rendah, Gelanggang Awam Menengah, Sekolah Rendah, Sekolah Menengah serta Jemputan Kebangsaan. Pertandingan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan, malah menjadi platform memperkukuh penghayatan terhadap adat, disiplin serta nilai warisan Silat Seni Gayong dalam kalangan peserta.

Setiap persembahan dinilai oleh barisan juri yang terdiri daripada pelajar UUM yang diberi kepercayaan oleh Yang Dipertua Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia untuk mengendalikan proses penghakiman mencerminkan keyakinan terhadap tahap kompetensi, integriti serta penguasaan mereka terhadap silibus, teknik, adat dan etika Silat Seni Gayong.
Mohd Fairus berkata, penganjuran pertandingan seperti ini bukan sekadar melahirkan pesilat yang cemerlang dalam gelanggang, malah menjadi medium penting dalam memastikan warisan Silat Seni Gayong terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda.
“Silat Seni Gayong bukan sekadar seni mempertahankan diri, tetapi merupakan wadah membentuk disiplin, sahsiah serta jati diri.

“Saya berharap lebih ramai generasi muda akan terus menghayati dan memartabatkan warisan ini agar kekal relevan sepanjang zaman,” katanya.
Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan. Antara pasukan yang mencatat kejayaan cemerlang ialah Gelanggang Kesiga Masjid Sharifah Fatimah, Gelanggang Tok Cindai, Taming Sari Training Centre, Sekolah Kebangsaan Paya Kemunting, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra yang berjaya meraih beberapa gelaran johan sepanjang kejohanan.
Secara keseluruhannya, penganjuran Pertandingan Silibus Silat Seni Gayong Serantau Malaysia Peringkat Negeri Kedah dan Jemputan Kebangsaan 2026 telah mencapai objektifnya dalam memperkukuhkan penguasaan silibus, melahirkan pesilat yang berkemahiran tinggi serta mengeratkan hubungan antara sekolah, gelanggang dan institusi pengajian tinggi.
Program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform melahirkan lebih ramai pesilat yang berkualiti, berdaya saing dan mampu mengharumkan nama negeri serta negara di peringkat yang lebih tinggi. – Muhammad Firdaus Helmi Azmi



