Education

Felo Bersekutu CEDI UUM berjaya tamat Program Pensijilan CAPEE, perkukuh peranan mentor keusahawanan IPT

Berita dan gambar Akmal Ahlami Md Rozai

KUALA LUMPUR, 19 Julai 2026: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan agenda pembangunan keusahawanan universiti apabila menghantar Felo Bersekutu CEDI, Dr. Mohd Fodli Hamzah dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), untuk menyertai Certified Advanced Programme for Entrepreneurship Educator (CAPEE) 2026 iaitu program pensijilan lanjutan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama strategik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan SME Corporation Malaysia.

Program yang berlangsung selama lima hari bermula 8 hingga 12 Februari lalu di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, Kelantan itu menghimpunkan seramai 43 tenaga pengajar dan mentor keusahawanan daripada Universiti Awam (UA), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta SME Corporation Malaysia.

Dr. Mohd Fodli  berkata, program ini bertujuan memperkukuhkan kompetensi tenaga pengajar dalam bidang keusahawanan melalui pembangunan modul berstruktur, pendedahan kepada amalan terbaik industri serta pengukuhan peranan sebagai mentor yang berkesan kepada pelajar, alumni, usahawan dan komuniti.

Penyertaan ini mencerminkan komitmen CEDI dalam memastikan tenaga pengajar dan felo bersekutu sentiasa diperkasakan dengan ilmu, kemahiran serta pensijilan profesional yang mampu menyokong pembangunan ekosistem keusahawanan di Universiti Utara Malaysia.

Sebagai kesinambungan kepada program tersebut, Dr. Mohd Fodli telah menghadiri Majlis Perasmian Penutup dan Graduasi Program CAPEE yang berlangsung pada 9 Julai baru-baru ini di Kuala Lumpur yang telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi, Fazidah Mustafa sebagai simbolik pengiktirafan kepada peserta yang berjaya menamatkan program pensijilan tersebut.

Program CAPEE merupakan salah satu inisiatif strategik KPT yang selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 serta Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2026–2030 dalam memperkasakan kompetensi tenaga pengajar keusahawanan agar lebih berwibawa, kompeten dan berimpak dalam membimbing pembangunan usahawan di institusi masing-masing.

Mengulas penyertaannya, Dr. Mohd Fodli berkata, program tersebut telah membuka ruang yang luas untuk beliau memperkukuhkan pengetahuan, berkongsi amalan terbaik bersama rakan-rakan pendidik dari seluruh negara serta memahami pendekatan terkini dalam pembangunan pendidikan keusahawanan.

“CAPEE bukan sekadar program pensijilan, malah menjadi platform yang memperkayakan perspektif saya sebagai pendidik dan mentor keusahawanan.

“Pengalaman berinteraksi dengan pakar industri serta peserta daripada pelbagai institusi memberi inspirasi untuk saya menerapkan pendekatan yang lebih praktikal, inovatif dan berimpak dalam membimbing pelajar serta komuniti ke arah pembentukan usahawan yang mampan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif CEDI, Dr. Juhaida binti Abu Bakar merakamkan ucapan tahniah kepada Dr. Mohd Fodli atas kejayaan menamatkan program berprestij tersebut.

Menurutnya, penyertaan tenaga akademik dan felo bersekutu dalam program pembangunan profesional seperti CAPEE adalah selari dengan komitmen CEDI untuk melahirkan barisan mentor keusahawanan yang berkualiti, kompeten dan sentiasa relevan dengan keperluan industri serta ekosistem keusahawanan negara.

“CEDI sentiasa menggalakkan warga akademik dan felo bersekutu untuk meningkatkan kompetensi melalui program pensijilan profesional seperti CAPEE. Ilmu, pengalaman dan jaringan strategik yang diperoleh bukan sahaja memberi nilai tambah kepada individu, malah akan memperkukuh pelaksanaan program keusahawanan, penyelidikan, konsultansi serta pembangunan komuniti yang diterajui oleh CEDI.

“Kami berharap pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasakan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar, usahawan dan masyarakat,” katanya.

Penyertaan Dr. Mohd Fodli dalam CAPEE mencerminkan usaha berterusan CEDI untuk membangunkan tenaga pengajar dan mentor keusahawanan yang berdaya saing serta menyokong aspirasi UUM dan KPT dalam memperkukuhkan ekosistem keusahawanan pendidikan tinggi yang lestari, inklusif dan berimpak tinggi.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button