Campus

TNC HEPA UUM santuni pelajar peperiksaan akhir melalui agihan 430 susu kotak dan biskut

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 21 Julai 2026: Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri turun padang menyampaikan sumbangan 430 susu kotak dan biskut kepada pelajar yang menduduki peperiksaan akhir di Dewan Tan Sri Othman, UUM, pagi ini.

Program tersebut merupakan antara inisiatif universiti dalam menyantuni kebajikan pelajar sepanjang tempoh peperiksaan akhir, di samping memberikan sokongan moral agar mereka dapat menghadapi peperiksaan dalam keadaan lebih tenang, bersemangat dan bertenaga.

Ketika menyampaikan sumbangan, Dr. Bakti turut meluangkan masa beramah mesra dengan pelajar serta menitipkan kata-kata semangat kepada mereka.

Beliau berkata, kebajikan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan universiti, lebih-lebih lagi ketika mereka berdepan dengan cabaran sepanjang musim peperiksaan.

“Peperiksaan akhir merupakan detik penting dalam kehidupan akademik setiap pelajar. Justeru, kami berharap sumbangan kecil ini dapat memberi suntikan semangat dan mengingatkan mereka bahawa pihak universiti sentiasa prihatin terhadap kebajikan serta kesejahteraan mereka.

“Semoga semua pelajar dipermudahkan urusan dan berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang,” katanya.

Pelajar yang menerima sumbangan menzahirkan penghargaan atas keprihatinan pihak pengurusan universiti yang sentiasa mengambil berat aspek kebajikan dan kesejahteraan warga kampus, khususnya ketika menghadapi minggu peperiksaan.

Inisiatif seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan inklusif, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah seimbang dari aspek kesejahteraan dan pembangunan diri.

Hadir sama, Dekan HEP, Dr. Mazli Mutazam dan Pengurus SELECT, HEP, Mohd Farhan Ismail.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button