Education

Kunjungan hormat UUM ke Malaysia Aviation Group perkukuh kerjasama strategik universiti-industri

Gambar Pusat Alumni

PETALING JAYA, 21 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik dengan industri menerusi kunjungan hormat ke Malaysia Aviation Group (MAG) yang memberi tumpuan kepada penerokaan peluang kerjasama dalam pembangunan bakat, kebolehpasaran graduan, penyelidikan serta pemerkasaan ekosistem pendidikan tinggi.

Delegasi UUM telah disambut oleh Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan MAG, Amran Mohd. Tomin, alumni Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan UUM (1996) bersama barisan pengurusan Malaysia Aviation Academy.

Delegasi UUM diwakili oleh Pengarah Pusat Alumni Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar; Pengetua Inapan Siswa Malaysia Airlines (Inasis MAS) Sharima Ruwaida Abbas; Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (CDGEC) Dr. Fikriyah Abdullah, serta Pengerusi Centre for Logistics and Transport (CeLT) Prof. Madya Dr. Rohafiz Sabar dan pelajar Inasis MAS.

Dr. Lily Julienti berkata, pihaknya telah membentangkan cadangan kerjasama yang berpotensi dilaksanakan antara UUM dan MAG.

Antara fokus utama yang dibincangkan ialah inisiatif penjenamaan semula INASIS Malaysia Airlines, peluang endowmen dan sumbangan industri, pembangunan sahsiah serta kompetensi pelajar, peningkatan kebolehpasaran graduan, pembangunan program akademik baharu, latihan profesional, perkongsian kepakaran melalui syarahan industri serta pelaksanaan program-program strategik yang memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi.

“Pusat Alumni UUM sentiasa komited memperkukuhkan jaringan strategik bersama alumni dan rakan industri sebagai pemangkin kepada pembangunan universiti serta kebolehpasaran graduan.

“Kunjungan ini bukan sahaja membuka ruang kepada pelbagai bentuk kerjasama yang lebih komprehensif, malah membuktikan bahawa alumni UUM yang kini menerajui organisasi terkemuka terus memainkan peranan penting dalam menyumbang semula kepada alma mater,” katanya.

Delegasi turut berpeluang mengadakan lawatan ke Malaysia Aviation Academy bagi melihat sendiri kemudahan latihan bertaraf dunia yang dimiliki oleh MAG serta merangkumi simulator penerbangan, fasiliti latihan teknikal serta pelbagai kemudahan pembelajaran moden yang menyokong pembangunan modal insan dalam industri penerbangan.

Kunjungan ini mencerminkan komitmen UUM dalam memperkukuhkan hubungan universiti-industri melalui jaringan alumni yang berjaya menerajui organisasi terkemuka.

Kerjasama strategik seumpama ini diyakini mampu membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan graduan UUM dalam aspek pembelajaran berasaskan industri, pembangunan profesional, penyelidikan serta laluan kerjaya.

UUM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Amran Mohd. Tomin dan seluruh warga Malaysia Aviation Group atas layanan mesra, perkongsian pengalaman serta kesediaan meneroka pelbagai bentuk kerjasama yang bakal memberi impak positif kepada pembangunan universiti, industri dan negara. – Amelia Hakimi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button