‘Geng Ngaji’ perkasa budaya celik Al-Quran dalam kalangan pelajar UUM
Gambar Naufal Haziq Azmi
SINTOK, 21 Julai 2026: Usaha menyemarakkan budaya celik al-Quran dalam kalangan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) diperkasakan menerusi pelaksanaan program Geng Ngaji TNB, satu inisiatif kerohanian yang digerakkan oleh Surau Inapan Siswa TNB bagi melahirkan komuniti pelajar yang dekat dengan al-Quran serta menghayati nilai Islam dalam kehidupan seharian.
Program yang dirancang berlangsung secara berterusan sehingga penghujung tahun 2026 itu mengetengahkan pendekatan pembelajaran al-Quran yang santai, inklusif dan mesra peserta.

Usaha ini membuka peluang kepada mahasiswa daripada pelbagai latar belakang serta tahap penguasaan bacaan al-Quran untuk bersama mendalami kitab suci tersebut tanpa rasa kekok atau terasing.
Aktiviti dimulakan dengan solat berjemaah sebelum peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil yang menghimpunkan pelajar daripada pelbagai tahap kemahiran bacaan al-Quran, sama ada yang mahir mahupun yang masih memerlukan bimbingan. Pendekatan tersebut mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih interaktif dan menggalakkan perkongsian ilmu serta sokongan antara rakan sebaya.
Bagi memperkayakan pengisian program, peserta kemudiannya disatukan dalam sesi kelompok yang menampilkan aktiviti tadabbur ayat pilihan al-Quran serta perkongsian terbuka mengenai pengajaran dan hikmah yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan sebagai pelajar.

Pelaksanaan program ini turut mencerminkan komitmen berterusan Pusat Islam UUM dalam memperluaskan budaya celik al-Quran dalam kalangan warga kampus. Menerusi sokongan dan galakan terhadap pelbagai inisiatif pengajian al-Quran di peringkat inapan siswa, Pusat Islam berusaha mewujudkan persekitaran kampus yang subur dengan nilai-nilai Islam serta membudayakan pembelajaran al-Quran sebagai sebahagian daripada gaya hidup pelajar.
Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md. Sabri berkata, pihaknya sentiasa mengalukan dan menyokong usaha mahasiswa yang berupaya mendekatkan generasi muda dengan al-Quran serta membentuk keperibadian yang holistik.
“Pusat Islam sentiasa memberi galakan kepada program yang menjadikan al-Quran sebagai teras pembangunan diri pelajar.

“Budaya membaca, memahami dan menghayati al-Quran perlu terus diperkasakan agar menjadi sebahagian daripada identiti warga kampus UUM, sekali gus melahirkan graduan yang seimbang dari aspek ilmu, sahsiah dan spiritual,” katanya.
Sementara itu, Exco Kerohanian Inapan Siswa TNB, Naufal Haziq Azmi berharap program tersebut dapat diperluaskan ke seluruh inapan siswa UUM agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai pelajar.
“Kami berharap Geng Ngaji dapat berkembang dan dilaksanakan di setiap inapan siswa di UUM. Dengan sokongan berterusan daripada Pusat Islam dan Majlis Pengetua Inasis, kami yakin program ini mampu melahirkan generasi mahasiswa yang celik al-Quran, berakhlak mulia dan cemerlang dalam bidang akademik,” katanya.
Inisiatif seperti Geng Ngaji TNB dilihat berpotensi menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem kampus yang lebih harmoni dan berteraskan nilai Islam, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja unggul dari sudut akademik, malah memiliki kekuatan sahsiah dan jati diri yang tinggi. – Nurin Nasuha Rizalman Abdul Rahman



