General

UUM dilantik rakan strategik Konvensyen ILTIZAM 2026

Gambar Ihsan UUM

SINTOK, 22 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) dilantik sebagai rakan strategik bagi penganjuran Konvensyen ILTIZAM 2026 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dijadualkan berlangsung pada 3 Ogos depan di Dewan Mu’adzam Shah, Sintok.

Pelantikan tersebut dimaklumkan menerusi surat rasmi daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz kepada Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Wan Ahmad Dahlan berkata, Konvensyen ILTIZAM 2026 yang bakal dianjurkan itu bertujuan bagi memperkukuhkan pelaksanaan Akta ILTIZAM 2025 (Akta 867) yang berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Disember 2025.

Menurutnya, akta berkenaan bertujuan meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan, di samping menangani kerenah birokrasi serta mengurangkan beban kawal selia yang tidak perlu.

Konvensyen tersebut dijangka menjadi platform yang menghimpunkan ahli akademik, golongan pemikir, pemain industri, komuniti perniagaan serta penjawat awam untuk membincangkan hala tuju tadbir urus dan kecemerlangan organisasi di peringkat nasional.

Dalam penyataan tersebut, pelantikan UUM dibuat setelah mengambil kira kepakaran universiti itu dalam penyelidikan akademik berkaitan dasar-dasar kerajaan serta kecemerlangan UUM dalam bidang pengurusan.

Kerjasama strategik ini diharapkan dapat mewujudkan sinergi baharu dalam memperkasa usaha reformasi sektor awam negara.

Pelaksanaan Konvensyen ILTIZAM 2026 akan diselaraskan oleh Bahagian Reformasi Sektor Awam (BRSA), JPA, manakala perbincangan lanjut bersama wakil UUM akan diadakan bagi menyelaras pelaksanaan program tersebut.

JPA turut menzahirkan harapan agar komitmen dan kerjasama UUM dapat memastikan penganjuran konvensyen berkenaan berlangsung dengan teratur, berkesan serta memberi impak tinggi dalam menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button