Klinik Paten ICC tarik minat pensyarah UUM tingkat perlindungan harta intelek
Berita dan gambar Nur Azhanie Mohd Kamil
SINTOK, 22 Julai 2026: Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) telah menganjurkan Klinik Paten di Bilik Tamra, Kompleks Konvensyen UUM, baru-baru ini sebagai inisiatif memperkukuhkan budaya perlindungan harta intelek dalam kalangan warga akademik.

Pengarah ICC, Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad berkata, program ini bertujuan memberi ruang kepada pensyarah yang telah mempunyai draf paten untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan penulisan spesifikasi paten.
Di samping itu, menurutnya, peserta turut diberi penjelasan mengenai pelbagai aspek berkaitan permohonan harta intelek yang lain.
Melalui sesi konsultasi secara bersemuka, peserta berpeluang membincangkan cadangan inovasi masing-masing bersama pegawai ICC bagi memastikan permohonan yang dikemukakan memenuhi keperluan perlindungan harta intelek.

Klinik Paten ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pensyarah UUM, sekali gus mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan melindungi hasil penyelidikan dan inovasi melalui pendaftaran harta intelek.
ICC bercadang untuk meneruskan penganjuran Klinik Paten secara berkala pada masa hadapan bagi memperluas akses kepada khidmat nasihat dan bimbingan berkaitan harta intelek. Inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan bilangan pemfailan paten universiti, seterusnya menyokong pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) UUM serta memperkukuh penarafan universiti menerusi indikator Malaysia Research Assessment (MyRA).



