KPTIP–CILTM Roadshow No. 6 tingkat pengetahuan pelajar dalam perancangan penerbangan, pengurusan dan logistik halal
Gambar Sekretariat STML Green Carnival 2026
SINTOK, 26 Julai 2026: KPTIP–CILTM Roadshow No. 6 telah berjaya dianjurkan di Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai salah satu pengisian sempena STML Green Carnival 2026.
Program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran pelajar mengenai bidang Aviation Planning & Management serta Halal Logistics, di samping menggalakkan penyertaan pelajar daripada pelbagai bidang pengajian untuk meneroka peluang kerjaya dalam industri logistik dan pengangkutan.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Women in Logistics and Transport (WiLAT) Kedah & Perlis, Ts. Dr. Emy Ezura A. Jalil yang menekankan kepentingan pembelajaran berterusan serta penglibatan aktif dengan industri dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.
Program diteruskan dengan sesi taklimat oleh Pengerusi Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM) Kedah & Perlis, Prof. Madya Dr. Rohafiz Sabar yang memperkenalkan Knowledge Partnership Through Industry Programme (KPTiP) kepada peserta.
Beliau menjelaskan objektif pelaksanaan program, laluan pensijilan profesional dalam bidang Aviation Planning & Management dan Halal Logistics, syarat kelayakan penyertaan serta peluang pembiayaan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Beliau turut menekankan kepentingan memperoleh pensijilan profesional yang diiktiraf industri sebagai nilai tambah dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan serta kesiapsiagaan mereka untuk memasuki sektor logistik dan pengangkutan.

Program turut diserikan dengan sesi perkongsian pengalaman oleh pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan, Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Muhammad Suwandi Syarifuddin serta pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan), STML, Afif Hakim Mohd Yusof.
Kedua-dua panel berkongsi pengalaman akademik, penglibatan dalam kepimpinan pelajar serta pendedahan mengenai bidang Aviation Planning & Management dan Halal Logistics, sekali gus memberi inspirasi kepada peserta untuk meneroka pelbagai peluang kerjaya yang ditawarkan dalam industri logistik dan pengangkutan.
Sepanjang program berlangsung, peserta berpeluang berinteraksi secara langsung dengan wakil akademik dan industri bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan, trend semasa serta prospek masa depan dalam bidang penerbangan dan logistik halal. Sesi interaktif ini turut membuka ruang kepada pelajar untuk memahami dengan lebih mendalam keperluan industri serta laluan pembangunan profesional yang boleh diterokai.

Secara keseluruhannya, KPTIP–CILTM Roadshow No. 6 berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam memperkukuh pengetahuan dan kesedaran pelajar mengenai bidang Aviation Planning & Management dan Halal Logistics.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan STML dalam melahirkan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran serta bersedia memenuhi keperluan industri logistik dan pengangkutan yang semakin berkembang di peringkat global. – Nurul Liana Mohd Arif



