IBS UUM perkukuh hubungan industri melalui lawatan Program WBL
Berita dan gambar Dr. Nadiah Abdul Lateb
SINTOK, 26 Julai 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan hubungan strategik dengan rakan industri menerusi lawatan pemantauan program Pembelajaran Berasaskan Kerja atau Work-Based Learning (WBL) bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Halal (BHalal) sesi A252.

Seramai lapan pensyarah IBS telah menyertai lawatan ke penempatan industri pelajar kohort pertama program BHalal yang sedang menjalani WBL menerusi mod 3u1i dari 1 hingga 15 Julai 2026. Mereka ditempatkan di 42 organisasi industri berbeza di seluruh negara, sekali gus memberi pendedahan langsung kepada suasana kerja sebenar dalam sektor halal dan industri berkaitan.
Sembilan kumpulan lawatan telah diselaraskan oleh lapan pensyarah IBS, iaitu Prof. Madya Dr. Syarifah Md Yusof, Prof. Madya Dr. Azizah Othman, Prof. Madya Dr. Mohd Solehuddin Shuib, Prof. Madya Dr. Mohd Adib Abd Muin, Dr. Fauziah Mohd Noor, Dr. Muhamad Abrar Bahaman, Dr. Nor Aina Mhd Khotib dan Dr. Muhamad Fikri Aziz.
Dr. Nor Aina berkata, lawatan ini bertujuan menilai perkembangan pelajar di tempat kerja, mendapatkan maklum balas daripada jurulatih industri serta memastikan pelaksanaan WBL selaras dengan hasil pembelajaran yang ditetapkan oleh universiti.
Selain itu, menurutnya, sesi pertemuan antara pensyarah dan jurulatih industri turut menjadi platform untuk membincangkan prestasi, kebolehsuaian dan tahap profesionalisme pelajar sepanjang tempoh penempatan.

Program WBL pelajar BHalal turut diperkukuh melalui jaringan kerjasama strategik UUM dengan Rangkaian Hotel Seri Malaysia dan Jardin Pharma Berhad menerusi memorandum persefahaman (MoU). Tiga pelajar ditempatkan di Rangkaian Hotel Seri Malaysia di Kulim, Port Dickson dan Kuantan, manakala seorang lagi menjalani penempatan di anak syarikat Jardin Pharma Berhad di Alor Setar.
Majoriti jurulatih industri memberikan maklum balas positif terhadap prestasi pelajar, malah ada organisasi yang menawarkan pelanjutan penempatan bagi tempoh latihan industri enam bulan seterusnya. Sebahagian pelajar turut menerima tawaran pekerjaan selepas menamatkan tempoh latihan industri, sekali gus mencerminkan keyakinan industri terhadap keupayaan graduan BHalal UUM.
Maklum balas tersebut turut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tisha’s Food Manufacturing Sdn. Bhd. En Shamsul Shah Sulaiman, semasa lawatan industri oleh Dr. Muhamad Abrar Bahaman pada 2 Julai 2026 yang lepas.
“Kami berpuas hati dengan prestasi pelajar UUM dan berharap IBS dapat menghantar lebih ramai pelajar BHalal untuk menjalani latihan industri di syarikat ini pada masa hadapan,” katanya.

Pada masa yang sama, maklum balas membina khususnya berkaitan kemahiran insaniah akan dimanfaatkan IBS bagi menambah baik persediaan pelajar. Sebelum memulakan WBL, mereka telah mengikuti Program Sijil Profesional Eksekutif Halal dan pelbagai program persediaan industri bagi memperkukuhkan pengetahuan teknikal, etika profesional dan kesiapsiagaan kerjaya.
IBS UUM berharap pengalaman ini dapat melahirkan graduan yang kompeten, berintegriti dan bersedia memenuhi keperluan industri halal negara.



