Education

Felo ISIDM SQS kongsi teknik pembuatan keputusan bersama MAIWP

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Aida Mauziah Benjamin dan Prof. Madya Dr. Norazura Ahmad

KUALA LUMPUR, 26 Julai 2026: Dua felo daripada Institute of Strategic Industrial Decision Modelling (ISIDM), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Aida Mauziah Benjamin dan Prof. Madya Dr. Norazura Ahmad, telah dijemput sebagai penceramah bagi Bengkel Teknik Pembuatan Keputusan yang berlangsung selama dua hari bermula pada 15 Julai lalu di Menara MAIWP.

Bengkel yang disertai hampir 40 pegawai MAIWP daripada pelbagai unit ini bertujuan meningkatkan kompetensi peserta dalam mengaplikasikan pendekatan kuantitatif dan sistematik bagi menghasilkan keputusan yang lebih tepat, telus dan berasaskan data.

Sepanjang bengkel, Dr. Aida yang juga merupakan ahli Research Group (RG) Data-driven Productivity and Efficiency (DaPE) serta Dr. Norazura yang merupakan ahli RG Sustainable Policy & Decision Analytics (SuPDA) telah memperkenalkan teknik pengoptimuman bagi agihan sumber dan peruntukan bajet, model pengangkutan, Multi-Criteria Decision Making (MCDM), Systems Thinking, Risk-Based Decision Analysis, serta pengukuran produktiviti dan kecekapan.

Setiap modul turut disertakan dengan aktiviti berkumpulan berasaskan senario sebenar MAIWP yang memberi pendedahan praktikal kepada peserta dalam membuat keputusan yang lebih strategik dan berkesan.

Perkongsian ini mencerminkan komitmen ISIDM dan RG SQS dalam memperkasakan sektor awam melalui pemindahan ilmu dan kepakaran dalam bidang penyelidikan operasi, sekali gus mengukuhkan kerjasama strategik antara UUM dan MAIWP ke arah amalan tadbir urus yang lebih cekap dan berasaskan bukti.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button