STML, SQS Dan SMMTC jayakan Bengkel PEKA-ATM
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Mohamad Farizal Rajemi
LUMUT, 26 Julai 2026: Tiga pusat pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) berganding bahu menjayakan Bengkel Pembangunan Ekonomi Komuniti Akuaponik Angkatan Tentera Malaysia (PEKA-ATM) yang berlangsung di Pusat Pembangunan Wanita (PPW), Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

Program ini merupakan inisiatif strategik yang menghimpunkan kepakaran penyelidik daripada Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) dan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) dalam usaha memperkasakan pembangunan ekonomi komuniti melalui teknologi akuaponik dan pemprosesan makanan.
Bengkel tersebut diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Farizal Rajemi bersama tiga penyelidik lain iaitu Prof. Madya Dr. Muhammad Mat Yusof, Dr. Yuhainis Mohd Yusoff dan Nur Fadziana Faisal Mohamad.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 47 peserta terdiri daripada pegawai, anggota pelbagai pangkat serta pasangan anggota TLDM Lumut.
Dr. Mohamad Farizal berkata, penganjuran bengkel ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan Geran Penyelidikan bernilai RM100,000 yang dibiayai oleh Kementerian Pertahanan Malaysia.
Menurutnya, melalui geran tersebut, pasukan penyelidik UUM dipertanggungjawabkan membekalkan 10 unit sistem PEKA-ATM serta empat unit mesin teknologi retort kepada Pengkalan TLDM Lumut bagi menyokong pembangunan ekonomi komuniti setempat.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta didedahkan kepada kaedah pengendalian sistem akuaponik yang berkesan bagi mengoptimumkan pengeluaran sayur-sayuran dan ikan.
Selain itu, mereka turut mengikuti latihan pengendalian teknologi retort yang membolehkan hasil tuaian akuaponik diproses menjadi produk hiliran bernilai tambah, berkualiti serta mempunyai jangka hayat penyimpanan yang lebih panjang.
Inisiatif ini selaras dengan dua objektif utama Projek Perintis PEKA-ATM yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia iaitu memperkukuhkan keupayaan kem-kem tentera untuk berdikari dalam menghasilkan sumber makanan sendiri serta mewujudkan peluang penjanaan pendapatan tambahan kepada keluarga anggota tentera di bawah Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT).

“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pertahanan Malaysia atas sokongan pembiayaan projek tersebut, di samping menghargai Universiti Utara Malaysia yang sentiasa memberi ruang kepada para penyelidik untuk memindahkan ilmu dan teknologi kepada masyarakat.
“Usaha kolaboratif ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan strategik antara universiti dan Angkatan Tentera Malaysia, malah menyokong agenda negara dalam memperkasakan sekuriti makanan, meningkatkan keterjaminan bekalan makanan serta memperkasa ekonomi komuniti melalui pemindahan teknologi dan inovasi,” katanya.



