Education

STF-IBS dan IHSAN UMT kongsi kepakaran perkasa tadbir urus endowmen dan wakaf

Gambar Dr. Mohamad Yazid Isa

TERENGGANU, 26 Julai 2026: Dana Sosial Takaful–Islamic Business School (STF-IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Pusat IHSAN, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalin kerjasama strategik dalam usaha memperkasakan tadbir urus endowmen dan wakaf menerusi perkongsian kepakaran, penyelidikan serta pembangunan amalan terbaik berteraskan prinsip Syariah.

Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Prof. Dr. Selamah Ma’amor berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperkukuhkan ekosistem endowmen dan wakaf yang lebih mampan, telus serta berimpak tinggi kepada masyarakat.

Menurutnya, gabungan kepakaran akademik dan pengalaman pengurusan institusi akan membuka ruang kepada pembangunan model tadbir urus yang lebih efektif, sekali gus menyokong agenda kelestarian kewangan institusi pengajian tinggi dan kesejahteraan ummah.

STF turut berkongsi pengalaman dan pentadbiran endowment yang STF perolehi daripada pihak swasta.

Sementara itu, Pengarah Pusat IHSAN Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd Riswadi Azmi menyambut baik kerjasama tersebut dan menyifatkannya sebagai platform terbaik untuk memperluaskan jaringan kolaborasi dalam bidang endowmen, wakaf dan kewangan sosial Islam.

Beliau berkata, sinergi antara STF-IBS dan IHSAN UMT dijangka dapat menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi, memperkukuhkan pemindahan ilmu serta membangunkan amalan tadbir urus yang mampu dijadikan rujukan oleh institusi pengajian tinggi dan organisasi berkaitan di Malaysia.

Kerjasama strategik ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem kewangan sosial Islam yang lebih dinamik, sekali gus memperkasakan peranan institusi pengajian tinggi sebagai peneraju inovasi dalam pengurusan endowmen dan wakaf demi manfaat masyarakat serta pembangunan negara. –  Prof. Madya Dr. Mohd Zakhiri Md. Nor

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button