General

UUM, UMS santuni 35 penghuni RPH menerusi Program Sinergi Kepimpinan Siswa Borneo

Berita dan gambar Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin

RANAU, 26 Julai 2026: Semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial terus diperkukuhkan apabila Majlis Pengetua Inapan Siswa (Inasis) dan Majlis Presiden Jawatankuasa Kepimpinan Pembangunan Siswa (JKPS) Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyantuni 35 penghuni Rumah Putera Harapan (RPH), Ranau menerusi Program Sinergi Kepimpinan Siswa Borneo UUM-UMS 2026.

Program yang bertemakan Komuniti Borneo ini menggabungkan elemen mobiliti akademik, silang budaya, pembangunan kepimpinan dan khidmat masyarakat bagi memperkasa komuniti pedalaman.

Inisiatif ini turut menyokong aspirasi melahirkan graduan holistik, berjiwa masyarakat dan menghayati nilai kesukarelawanan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta agenda Kementerian Pendidikan Tinggi.

Sepanjang program, sukarelawan pelajar mengendalikan pelbagai aktiviti interaktif seperti Future Path Timeline, yang membantu penghuni merancang hala tuju masa depan, dan Beyond the Sketch, iaitu aktiviti terapi seni yang memberi ruang kepada mereka mengekspresikan emosi serta meningkatkan keyakinan diri.

Selain itu, penganjur turut menyerahkan sumbangan kewangan berjumlah RM1,500 kepada Rumah Putera Harapan hasil kutipan dana (crowdfunding) daripada orang ramai dan penaja sebagai sokongan kepada kebajikan serta keperluan penghuni rumah berkenaan.

Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM, Dr. Mazli Mutazam, berkata kecemerlangan akademik perlu diseimbangkan dengan kepekaan sosial dan nilai kemanusiaan.

“Kehadiran pelajar di sini bukan sekadar memenuhi tuntutan program, tetapi menjadi manifestasi tanggungjawab sosial dan kepimpinan berempati yang amat diperlukan dalam membentuk pemimpin masa depan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Rumah Putera Harapan, Sabri Sundang menzahirkan penghargaan atas keprihatinan pelajar UUM dan UMS yang sanggup berkongsi masa, ilmu dan rezeki bersama penghuni rumah kebajikan tersebut.

“Kehadiran mereka bukan sahaja membawa bantuan, malah memberikan motivasi dan harapan baharu kepada anak-anak di sini untuk terus berusaha mencapai kejayaan,” katanya.

Bagi memastikan kelangsungan usaha kebajikan ini, pihak penganjur mengalu-alukan sumbangan berterusan daripada orang ramai, sektor korporat dan badan bukan kerajaan (NGO). Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya melalui akaun rasmi Pengurusan Rumah Putera Harapan Ranau seperti berikut:

* Maybank: 5602 1405 5438
* CIMB Bank: 8602 0711 71
* Bank Islam: 1001 6010 0668 11

Setiap sumbangan, tanpa mengira jumlah, amat bermakna bagi membantu menampung kos pendidikan, kebajikan dan keperluan harian penghuni Rumah Putera Harapan Ranau.

Program ini membuktikan bahawa sinergi antara UUM dan UMS bukan sahaja memperkukuhkan hubungan strategik antara institusi pengajian tinggi, malah menjadi platform membentuk pelajar yang berjiwa rakyat, berempati dan komited menyumbang kepada pembangunan komuniti, khususnya di kawasan pedalaman Borneo.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button