Pensyarah UUM terjemah kepakaran menerusi penilaian risiko ergonomik di Kilang PMKS
Gambar Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly dan Mazarul Enterprise Sdn. Bhd.
ARAU, 26 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperluaskan pemindahan ilmu dan kepakaran kepada industri serta komuniti menerusi Program Penilaian Risiko Ergonomik di Mazarul Enterprise Sdn. Bhd., sebuah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor pembuatan perabot di Arau, Perlis.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perlis itu bertujuan membantu pihak syarikat mengenal pasti faktor risiko ergonomik dalam aktiviti dan proses kerja, selain mencadangkan langkah penambahbaikan yang praktikal serta bersesuaian dengan operasi kilang.
Penilaian tersebut dikendalikan oleh pensyarah UUM, Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly dan Dr. Norwahida Yaakub, yang juga merupakan Ergonomics Trained Person (ETP) berdaftar dengan JKKP.
JKKP Perlis pula diwakili oleh Nur Fadhilah Ahmad Rashidi daripada Seksyen Industri Kecil dan Sederhana, yang turut menyelaras pelaksanaan program bersama pihak pengurusan dan pekerja Mazarul Enterprise.
Sepanjang program, pasukan penilai meneliti proses kerja, postur pekerja, aktiviti pengendalian bahan, pergerakan berulang serta kesesuaian susun atur tempat kerja. Perbincangan bersama pihak pengurusan dan pekerja turut diadakan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang kaedah kerja serta cabaran yang dihadapi semasa melaksanakan tugasan.

Dr. Syazwan berkata, program itu menjadi platform kepada pensyarah UUM untuk menterjemahkan ilmu dan kepakaran akademik kepada penyelesaian praktikal yang dapat dimanfaatkan secara langsung oleh industri dan pekerja.
“Cadangan yang dikemukakan mengambil kira keadaan sebenar tempat kerja dan kemampuan organisasi supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan secara praktikal bagi mengurangkan ketidakselesaan pekerja serta mencegah gangguan muskuloskeletal berkaitan pekerjaan,” katanya.
Dr. Norwahida pula berkata, penilaian risiko ergonomik tersebut tidak terhenti pada hari program sahaja, sebaliknya akan disusuli dengan penyediaan laporan komprehensif.
“Laporan tersebut akan merangkumi tahap risiko ergonomik bagi aktiviti kerja yang dinilai serta cadangan penambahbaikan yang perlu diberikan perhatian oleh pihak majikan,” katanya.
Sementara itu, Nur Fadhilah berkata, majikan perlu memberikan komitmen terhadap usaha penambahbaikan berterusan dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) sejajar dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurutnya, program tersebut merupakan antara inisiatif JKKP Perlis dalam membantu PMKS meningkatkan tahap pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514].
“Walaupun sesebuah organisasi beroperasi dalam kategori PMKS, majikan tetap tertakluk kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta bertanggungjawab memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja terpelihara,” katanya.

Pelaksanaan program itu juga selaras dengan aspirasi Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2030 (OSHMP 2030), khususnya dalam memperkasakan pelaksanaan dan pembudayaan KKP dalam kalangan PMKS.
Program berkenaan turut menjadi sebahagian daripada pengisian Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) UUM 2026, sekali gus menterjemahkan sambutan tersebut melalui aktiviti turun padang yang memberikan manfaat secara langsung kepada industri dan komuniti.
Kerjasama antara UUM, JKKP Perlis dan Mazarul Enterprise Sdn. Bhd. mencerminkan komitmen bersama untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat dan kondusif, di samping memperkukuh hubungan strategik antara universiti, agensi kerajaan dan industri. – Dr. Norwahida Yakub @ Yaakub



