Campus

Pengajian pondok bermula, pelajar pilih timba ilmu semasa cuti semester

Gambar Abdul Razak Abdullah

SINTOK, 26 Julai 2026: Ketika kebanyakan pelajar mengambil peluang pulang ke kampung halaman sempena cuti semester, seramai 30 pelajar Universiti Utara Malaysia pula membuat pilihan yang berbeza apabila memilih berkampung di Pusat Islam demi menyertai Program Pengajian Pondok Universiti yang bermula hari ini.

Pengajian intensif yang berlangsung sehingga 1 Ogos 2026 ini, menghimpunkan warga universiti dan masyarakat sekitar yang beriltizam mengisi cuti semester dengan mendalami ilmu agama melalui kaedah pengajian pondok yang mengekalkan tradisi talaqqi dan pembelajaran berkitab di bawah bimbingan terus oleh guru.

Bertempat di Dewan Seminar Kompleks Pusat Islam, peserta mengikuti sesi pengajian intensif bermula 8.00 pagi hingga 10.30 malam setiap hari.

Program ini turut terbuka kepada warga universiti dan masyarakat awam yang ingin mendalami ilmu asas Islam secara lebih tersusun di samping menghayati adab berguru yang menjadi asas kepada tradisi keilmuan Islam.

Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md. Sabri berkata, hasrat penganjuran pengajian ini adalah untuk memantapkan kefahaman peserta dalam tiga buah bidang yang sangat penting dalam agama iaitu Aqidah, Feqah dan Tasawuf yang diharapkan untuk menjadi suluhan penting dalam amalan beragama.

“Sepanjang program, peserta akan mengikuti pengajian tiga buah kitab utama iaitu Matla’ul Badrain (Feqah), ‘Aqidatun Najin (Aqidah) dan Minhajul ‘Abidin (Tasawuf).

“Ketiga-tiga kitab ini bukan sahaja menjadi teks pengajian di institusi pondok atau pesantren, malah turut menjadi antara rujukan penting bagi calon pemegang Tauliah Mengajar Fardhu Ain Negeri Kedah,” katanya.

Lebih membanggakan, penyertaan pelajar yang sanggup menangguhkan kepulangan ke kampung mencerminkan komitmen tinggi generasi muda dalam memperkukuhkan kefahaman agama dan membina sahsiah diri. Pengorbanan masa cuti demi menuntut ilmu ini turut memperlihatkan bahawa budaya ilmu dalam kalangan mahasiswa UUM terus subur serta mendapat sambutan yang menggalakkan.

Penganjuran Program Pengajian Pondok Universiti merupakan antara inisiatif berterusan Pusat Islam dalam memperkasakan pembangunan rohani warga kampus melalui pendekatan pendidikan Islam yang autentik.

Selain memperkukuhkan penguasaan ilmu-ilmu fardu ain, program ini diharap dapat melahirkan graduan yang seimbang dari aspek intelektual, spiritual dan akhlak, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan pemimpin berperwatakan holistik. – Muhammad Kamil Yazid

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button