IHM (IBS) sertai PIHEX 2026 promosi latihan halal dan program pengajian IBS UUM
Gambar oleh: Nurul Syahidah Muhamad Puzi
PERMATANG PAUH, 26 Julai 2026: Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi menyertai Penang International Halal Expo (PIHEX) 2026 yang berlangsung pada 24 hingga 26 Julai 2026 di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang.
Penyertaan tahun ini merupakan kali ketiga berturut-turut bagi IHM membuka reruai pameran sebagai platform mempromosikan pelbagai program latihan halal, khidmat konsultasi halal serta program pengajian yang ditawarkan oleh IBS.

PIHEX 2026 merupakan pameran industri halal bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan, institusi pendidikan, usahawan dan masyarakat bagi memperkukuh pembangunan ekosistem halal di Malaysia.
Penganjuran PIHEX diterajui oleh Penang Halal International (PHI) dengan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pelbagai agensi strategik.
Majlis perasmian PIHEX 2026 telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia pada 25 Julai 2026. Dalam ucapan beliau, Perdana Menteri menekankan kepentingan memperkukuh industri halal negara melalui sinergi antara pensijilan halal, pembangunan industri serta kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai peneraju industri halal di peringkat global.

Sepanjang tiga hari pameran berlangsung, reruai IHM menerima kunjungan daripada pelbagai lapisan pengunjung termasuk usahawan, pelajar, wakil industri, agensi kerajaan dan institusi pendidikan.
Antara fokus utama yang diketengahkan ialah program latihan halal yang diiktiraf JAKIM iaitu Latihan Eksekutif Halal, Latihan Kesedaran Halal, Latihan Kompetensi Halal, khidmat konsultasi pensijilan halal serta peluang melanjutkan pengajian di IBS.

Alhamdulillah, sehingga kini IHM terus aktif melaksanakan latihan halal khususnya di wilayah utara Semenanjung Malaysia. Hampir 400 syarikat telah menyertai pelbagai program latihan halal yang dianjurkan oleh IHM sejak penubuhannya.
Kepercayaan industri terhadap kepakaran IHM turut dibuktikan apabila banyak syarikat kembali mendapatkan perkhidmatan latihan secara in-house bagi meningkatkan kompetensi pekerja dan pengurusan halal syarikat.
Penyertaan berterusan dalam PIHEX diharapkan dapat memperluaskan lagi jaringan kerjasama strategik serta memperkukuh peranan IHM sebagai pusat Pengendali Latihan Halal (PLH) yang diiktiraf JAKIM. – Dr. Nor Aina Mhd Khotib



