Kunjungan delegasi SCIMPA ke Pejabat Timbalan Rektor Penyelidikan, Inovasi dan Keusahawanan UII
Berita dan gambar oleh: Thirukaliarasan
Sleman, 6 Julai 2026: Delegasi Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama Pengarah Centre for International Affairs and Cooperation (CIAC), UUM telah mengadakan kunjungan rasmi ke Pejabat Timbalan Rektor (Penyelidikan, Inovasi dan Keusahawanan), Universitas Islam Indonesia (UII).
Kunjungan tersebut merupakan antara pengisian Program Kolaborasi antara Department of Communications, Universitas Islam Indonesia (UII) dan School of Creative Industry, Management and Performing Arts (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula 5 hingga 12 Julai 2026.

Sepanjang sesi perbincangan, delegasi SCIMPA dan CIAC UUM bertukar pandangan mengenai pelbagai potensi kerjasama strategik, termasuk peluang pertukaran pelajar sama ada secara berkredit atau tidak berkredit, pertukaran staf akademik serta pelaksanaan penyelidikan bersama yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.
Delegasi turut dibawa melawat Pejabat Kuliah Kerja Nyata (KKN) bagi melihat pelaksanaan program berkenaan. Dalam sesi tersebut, pihak UII berkongsi mengenai proses penglibatan pelajar dalam program KKN, produk-produk yang dihasilkan serta laporan projek yang telah dilaksanakan sepanjang program tersebut.

Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) SCIMPA, Dr. Syamsul Hirdi Muhid, program KKN berupaya membantu pelajar membangunkan kemahiran insaniah di samping menyediakan mereka untuk memasuki alam pekerjaan.
Turut dijelaskan bahawa program KKN di UII menghimpunkan pelajar daripada pelbagai bidang pengajian, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang mencerminkan dunia pekerjaan sebenar, di mana mereka perlu bekerjasama dengan rakan daripada pelbagai latar belakang akademik dan kepakaran.
Penyelaras Pusat Kokurikulum (Ko-K), UUM yang juga Penasihat Persatuan Pelajar SCIMPA, Creative Innovative Association (CIA), Dr. Amalia Rosmadi, berkata terdapat persamaan antara program Kuliah Kerja Nyata (KKN) dan projek SULAM yang dilaksanakan di UUM.

Menurut beliau, peluang untuk pelajar SCIMPA terlibat dalam melaksanakan KKN adalah satu inisiatif yang holistik yang berupaya memberi pengalaman dan melahirkan mahasiswa pemikiran ‘global’ apabila elemen pengantarabagsaan wujud dalam program yang dilihat seumpama program SULAM di UUM.
Jelasnya, inisiatif tersebut merupakan satu bentuk kolaborasi yang amat dialu-alukan dan selari dengan agenda pengantarabangsaan universiti.
Hasil lawatan ini telah mencetuskan idea untuk mengintegrasikan program berasaskan komuniti dan keusahawanan seumpama KKN dalam kalangan pelajar SCIMPA, UUM.
Pengurus Unit Seni Kreatif dan Pengurusan Acara Komersial (CACE), Dr. Mohd Fitri Yusoff berpendapat bahawa produk dari hasil KKN mempunyai nilai komersial, dan integrasi program seperti ini terhadap pelajar SCIMPA dapat serta hasilnya dapat dikomersialkan. Inisiatif tersebut diharapkan dapat memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di samping menyumbang kepada pembangunan komuniti secara lebih menyeluruh.



