Education

SoE UUM perkukuh reputasi penyelidikan global melalui penyertaan di WCIT 2026

Berita dan gambar Dr. Norasyikin Mohaiyuddin

IPOH, 28 Julai 2026: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukuhkan kecemerlangan akademik di peringkat antarabangsa apabila dua wakilnya, Dr. Norasyikin Mohaiyuddin dan Dr. Lutfi, Felo Pasca Doktoral SoE telah membentangkan hasil penyelidikan mereka dalam 8th World Conference on Islamic Thought and Civilization (WCIT 2026) yang berlangsung pada 21 hingga 23 Julai 2026 di Casuarina Convention Centre @ Meru, Ipoh, Perak.

Persidangan antarabangsa anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) itu menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, pembuat dasar serta tokoh-tokoh ilmuwan dari pelbagai negara bagi membincangkan isu-isu kontemporari berkaitan pemikiran Islam, tamadun, pendidikan, inovasi dan cabaran global dalam era transformasi digital.

Majlis perasmian persidangan telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menzahirkan kepentingan memperkukuh budaya ilmu, penyelidikan dan inovasi dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.

Persidangan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang menyampaikan ucaptama mengenai peranan institusi pendidikan tinggi dalam melahirkan graduan yang berfikiran kritis, beretika serta bersedia menghadapi perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri serta para peserta dari dalam dan luar negara.

Penyertaan Dr. Norasyikin dan Dr. Lutfi dalam persidangan berprestij ini mencerminkan komitmen berterusan SoE dalam memperkasakan budaya penyelidikan, memperluaskan jaringan kolaborasi akademik antarabangsa serta menyumbang kepada pembangunan ilmu yang memberi impak kepada masyarakat sejagat.

Penyertaan ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama penyelidikan antarabangsa, memperkukuhkan reputasi penyelidikan UUM di persada global serta menyokong aspirasi universiti untuk terus menjadi peneraju dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan inovasi.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button