Program pengajian pondok universiti martabatkan Pengajian Turath di UUM
Gambar oleh: Abdul Razak Abdullah
SINTOK, 27 Julai 2026: Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) berusaha memperkukuh agenda pemerkasaan ilmu Islam menerusi penganjuran Program Pengajian Pondok Universiti yang berlangsung selama tujuh hari bermula 26 Julai hingga 1 Ogos 2026, menghimpunkan mahasiswa, warga kampus dan masyarakat awam dalam pengajian kitab turath berteraskan manhaj ahli Sunnah wal Jamaah.
Program yang diadakan di Dewan Seminar, Kompleks Pusat Islam UUM itu menampilkan penceramah jemputan, Al-Fadhil Baba Mokhtar Ahmad, tenaga pengajar pondok dan pemegang Tauliah Mengajar Fardu Ain Negeri Kedah, yang membimbing peserta melalui tiga kitab turath utama iaitu Matla’ al-Badrain, ‘Aqidatun Najin dan Minhaj al-‘Abidin.

Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md. Sabri, berkata penganjuran pengajian pondok di institusi pengajian tinggi merupakan usaha penting dalam menghidupkan kembali tradisi keilmuan Islam yang telah melahirkan ramai ulama muktabar sepanjang sejarah.
Menurut beliau, pengajian kitab turath bukan sekadar menyampaikan ilmu agama, malah membentuk kefahaman Islam yang sahih, bersanad dan berakar kepada disiplin ilmu yang telah diwarisi oleh para ulama.
“Dalam era yang menyaksikan lambakan maklumat tanpa sempadan, masyarakat khususnya generasi muda perlu kembali merujuk kepada kitab turath yang menjadi asas pembinaan akidah, ibadah dan akhlak umat Islam. Tradisi talaqqi bersama guru yang berautoriti memastikan kefahaman agama dipelajari secara tepat, seimbang dan berdisiplin,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kitab ‘Aqidatun Najin memperkukuhkan pegangan tauhid menurut aliran ahli Sunnah wal Jamaah, berteraskan akidah Asha’irah dan Maturidiyyah yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di negara ini.
Sementara itu, kitab Matla’ al-Badrain pula memberi penekanan kepada penguasaan hukum-hakam fiqh menurut Mazhab Syafie secara tersusun dan berautoriti, sekali gus membantu peserta memahami amalan ibadah berdasarkan kaedah istinbat yang muktabar.
Dalam aspek pembinaan rohani, kitab Minhaj al-‘Abidin karya agung Imam al-Ghazali membimbing peserta menyelusuri jalan penyucian jiwa, memperkukuhkan adab, keikhlasan dan hubungan dengan Allah SWT berlandaskan pendekatan tasawuf yang berpaksikan al-Quran, al-Sunnah serta disiplin Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mohd Yusnaidi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh peserta yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang program berlangsung.
“Saya amat menghargai kesungguhan peserta yang istiqamah mengikuti keseluruhan pengajian dari sesi pagi, petang hingga malam sepanjang program ini berlangsung. Komitmen sebegini membuktikan bahawa tradisi menuntut ilmu secara talaqqi masih mendapat tempat dalam kalangan warga kampus dan masyarakat.”

Beliau berharap Program Pengajian Pondok Universiti akan terus menjadi platform strategik dalam melestarikan tradisi keilmuan Islam di kampus, sekali gus melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang profesional, malah teguh pegangan akidah, mantap kefahaman fiqh dan luhur akhlaknya berteraskan warisan ilmu para ulama turath.
Penganjuran program tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan Pusat Islam UUM dalam memperkasakan budaya ilmu, menghidupkan tradisi pengajian kitab turath serta menyemarakkan ekosistem pembelajaran Islam yang autentik dan berteraskan pegangan ahli Sunnah wal Jamaah selaras dengan aspirasi universiti melahirkan graduan berilmu, beradab dan berintegriti. – Nor Azlinah Zaini



