Campus

Ecofun Game perkasa kesedaran alam sekitar melalui pembelajaran interaktif

Gambar Nur Husnina Balqis Ahmad Nazamudin

SINTOK, 28 Julai 2026: Operation Management Club (POM), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menganjurkan EcoFun Game di Foyer STML sebagai salah satu pengisian sempena STML Green Carnival 2026.

Penasihat Program, Dr. Mawaddah Mohamad berkata, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan pelajar melalui pendekatan pembelajaran secara interaktif, menyeronokkan dan berasaskan pengalaman.

Menurutnya, program ini berjaya menarik penyertaan kira-kira 300 peserta daripada pelbagai latar belakang akademik, selain memperoleh pendedahan mengenai amalan kelestarian alam sekitar, peserta turut menerima mata merit dan cenderamata sebagai penghargaan atas penyertaan mereka.

Selaras dengan tema kelestarian, semua stesen aktiviti dibangunkan menggunakan bahan kitar semula, sekali gus membuktikan bahawa bahan buangan boleh ditransformasikan menjadi medium pembelajaran yang kreatif dan bermanfaat. Program ini menampilkan dua aktiviti utama, iaitu Giant Ecoboard Game dan Eco-Basketball, yang direka bagi menggabungkan elemen pendidikan, kreativiti dan hiburan.

Melalui Giant Ecoboard Game, peserta berpeluang menguji pengetahuan mereka mengenai isu-isu alam sekitar menerusi permainan papan bersaiz gergasi yang memerlukan pemikiran kritis, kerjasama berpasukan serta kemahiran menyelesaikan masalah berkaitan situasi sebenar alam sekitar.

Sementara Eco-Basketball menawarkan pengalaman pembelajaran yang lebih aktif dengan menggabungkan aktiviti fizikal bersama konsep kelestarian melalui penggunaan bahan guna semula. Aktiviti ini memberi penekanan kepada pengasingan sisa yang betul serta meningkatkan kefahaman peserta mengenai kepentingan pengurusan sisa secara lestari.

Bagi memeriahkan lagi program, beberapa permainan mini turut dianjurkan bagi mengukuhkan pemahaman peserta terhadap konsep-konsep utama berkaitan pemeliharaan alam sekitar. Aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik dan interaktif, malah berjaya memupuk semangat kerjasama, kreativiti serta sikap bertanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar.

Secara keseluruhannya, EcoFun Game berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam meningkatkan kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar melalui pendekatan pembelajaran yang kreatif, interaktif dan berasaskan pengalaman.

Program ini mencerminkan komitmen berterusan Operation Management Club (POM) dalam memupuk budaya cintakan alam sekitar serta membuktikan bahawa pendidikan kelestarian dapat disampaikan secara lebih berkesan melalui aktiviti yang menyeronokkan dan melibatkan penyertaan aktif para pelajar. – Balqis Sofea Rosli

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button