Campus

KESKA perkukuh hubungan strategik menerusi kunjungan hormat kepada Pengerusi LPU UUM

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 28 Julai 2026: Kesatuan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (KESKA) telah mengadakan kunjungan kormat kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UUM, Tan Sri Dato’ Dr. Mazlan Yusoff di EDC UUM pada Sabtu lalu.

Kunjungan yang diketuai oleh Presiden KESKA, Affendi Askandar bersama barisan Ahli Majlis Jawatankuasa (AMJK) sesi 2025–2027 itu bertujuan memperkenalkan kepimpinan baharu kesatuan serta memperkukuhkan hubungan kerjasama antara KESKA dan pihak pengurusan universiti dalam memperjuangkan kebajikan serta kesejahteraan warga pelaksana.

Turut hadir ialah Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Mohd Zulkifli Mohd Noor dari Jabatan Sumber Manusia UUM.

KESKA memaklumkan bahawa kesatuan kini dianggotai seramai 1,065 orang ahli dan merupakan kesatuan yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

KESKA berperanan sebagai medium rasmi dalam menyuarakan isu berkaitan kebajikan, pembangunan kerjaya, keselamatan dan kesejahteraan warga pelaksana, selain turut bekerjasama dengan Gabungan Kesatuan Universiti/IPTA Malaysia (GAKUM) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi memperkukuhkan agenda kebajikan penjawat awam.

Dr. Mazlan menyambut baik kunjungan tersebut dan menyifatkan pelantikan sebagai Ahli Majlis Jawatankuasa (AMJK) sebagai satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh integriti, keikhlasan dan tanggungjawab.

Menurutnya, kepimpinan kesatuan perlu menjadi penghubung yang berkesan antara warga pelaksana dan pihak pengurusan universiti dengan sentiasa mengutamakan kepentingan ahli mengatasi kepentingan peribadi.

Beliau turut berkongsi konsep penglibatan pekerja (employee engagement) yang membahagikan warga kerja kepada tiga kategori iaitu engaged, non-engaged dan actively disengaged .

Beliau menjelaskan bahawa pekerja dalam kategori engaged ialah mereka yang komited, bermotivasi tinggi serta sanggup menyumbang melebihi skop tugas, sekali gus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan organisasi melalui prestasi cemerlang, sikap positif dan semangat kerja berpasukan.

“Pekerja dalam kategori non-engaged pula hanya melaksanakan tugas mengikut keperluan tanpa menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap pembangunan organisasi, menyebabkan potensi mereka tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

“Kumpulan actively disengaged perlu diberi perhatian kerana bukan sahaja kurang bermotivasi, malah berpotensi menyebarkan persepsi negatif dan mempengaruhi rakan sekerja sehingga menjejaskan produktiviti, keharmonian serta budaya kerja organisasi. Justeru, beliau menggesa KESKA membantu melahirkan lebih ramai warga kerja yang berada dalam kategori engaged bagi memperkukuh kecemerlangan universiti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap KESKA dapat memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membimbing warga pelaksana agar terus mengamalkan budaya kerja yang positif, meningkatkan semangat kebersamaan serta membantu mengurangkan pengaruh negatif yang boleh menjejaskan keharmonian organisasi.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja perlu dilaksanakan secara profesional dengan berpandukan peraturan perkhidmatan, integriti serta saluran komunikasi yang berhemah. Hubungan yang harmoni antara kesatuan dan pihak pengurusan, katanya, merupakan asas penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan produktif.

Sementara itu, Presiden KESKA, Affendi merakamkan penghargaan kepada Pengerusi LPU dan pihak pengurusan universiti atas keprihatinan serta sokongan berterusan terhadap kebajikan dan pembangunan kerjaya warga pelaksana.

Program kunjungan hormat tersebut diakhiri dengan komitmen bersama untuk terus memperkukuhkan hubungan strategik, memelihara kebajikan warga pelaksana serta menyokong aspirasi Universiti Utara Malaysia ke arah kecemerlangan yang berterusan. – Mohd Khairil Hazree Hairudin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button