Lawatan Penanda Aras dan Kolaborasi Strategik Pantai Timur dalam pembangunan sosioekonomi Islam: UniSZA, UMT dan UMK
Gambar Azimah Ahmad
TERENGGANU, 28 Julai 2026: Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) telah mengadakan Lawatan Penanda Aras dan Kolaborasi Strategik ke tiga universiti awam iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Lawatan ini diketuai oleh Pengarah IPIZ, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid bersama Timbalan Pengarah IPIZ, Dr. Mohd Murshidi Mohd Noor; Pegawai Tadbir IPIZ, Dr. Fazlini Hashim serta Pembantu Tadbir Unit Penyelidikan IPIZ, Azimah Ahmad.

Dr. Abdul Halim berkata, objektif utama lawatan ini adalah untuk mengadakan perbincangan dua hala antara IPIZ dengan Pusat Penyelidikan Kewangan Sosial Islam (ISF) UniSZA, Pusat Ihsan UMT (UMT Ihsan) dan Fakulti Keusahawanan & Perniagaan (Perbankan & Kewangan Islam) UMK.
Pertemuan bersama ISF UniSZA yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nik Hazimi Mohammed Foziah dan Prof. Dr. Fauzilah Salleh telah membincangkan hala tuju penyelidikan serta penyelarasan Majlis Menandatangani MoU antara UUM dan UniSZA. Pada sebelah petang, pihak IPIZ berkunjung ke Pusat Ihsan UMT dan disambut oleh Pengarah Pusat Ihsan, Prof. Madya Dr. Mohd Riswadi Azmi yang membincangkan peluang kolaborasi berkaitan penyelidikan dan penerbitan selain penjanaan dana zakat dan wakaf.
Lawatan diteruskan ke Fakulti Keusahawanan & Perniagaan (FKP) UMK yang disambut oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Dzulkifli Mukhtar yang membincangkan peluang penyelidikan bersama melalui geran padanan antara UUM dan UMK, dengan beberapa topik penyelidikan berjaya dikenalpasti sebagai titik permulaan kepada impak positif dalam bidang zakat, wakaf, penerbitan dan inovasi.

“Lawatan ini bukan sahaja memperkukuhkan hala tuju penyelidikan tetapi turut menekankan takaful sebagai instrumen penting dalam kewangan sosial Islam,” kata Dr. Abdul Halim.
Beliau turut mempromosikan Seminar ZAWED 2026 yang akan berlangsung pada 14 dan 15 September 2026 di Hotel Everly Putrajaya sebagai platform utama pertemuan akademik dan profesional dalam bidang zakat, cukai, wakaf dan pembangunan ekonomi Islam.
Lawatan ini jelas memberikan impak positif kepada semua pihak dalam memperluas jaringan kerjasama, meningkatkan inovasi serta mengukuhkan kedudukan IPIZ sebagai peneraju dalam pembangunan sosioekonomi Islam di peringkat nasional dan antarabangsa. – Dr. Fazlini Hashim



