UUM jalin kerjasama strategik bersama Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam pendokumentasian strategik Institusi Fatwa
Gambar Jabatan Mufti Negeri Perlis
KANGAR, 28 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui sekumpulan penyelidik pelbagai bidang telah memulakan kerjasama strategik bersama Jabatan Mufti Negeri Perlis bagi melaksanakan projek penyelidikan komprehensif bertajuk “Institusi Fatwa Negeri Perlis: Sejarah Perkembangan, Tadbir Urus dan Pendokumentasian Strategik.”
Pertemuan bagi membentangkan proposal penyelidikan tersebut telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Jabatan Mufti Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh Mufti Negeri Perlis, Prof. Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan disertai oleh Timbalan Mufti, Tajul Urus Abdul Halim; Pegawai Hal Ehwal Islam, Muhammad Khidhir Abdul Ghani; Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Mohamad Abdul Kadir Sahak serta pegawai-pegawai daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Pihak UUM pula diwakili oleh kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Akram Dato’ Dahaman@Dahlan dan Dr. Sharifah Ismail daripada Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) serta Mohamad Amir Abu Seman daripada Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA).
Kumpulan penyelidik tersebut turut dianggotai oleh Prof. Madya Dr. Muhamad Amar Mahmad dan Prof. Madya Dr. Nor Azlah Sham Rambely daripada SLCP, serta Mohd Fairuz Mhd Padoli daripada SCIMPA yang tidak dapat hadir dalam pertemuan berkenaan.
Penyelidikan bernilai RM30,000 yang dirancang untuk tempoh lapan bulan ini telah diterima secara prinsip oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis yang bukan sahaja bertujuan menelusuri sejarah, tadbir urus, dan fungsi institusi fatwa negeri, malah merangkumi penghasilan dua penerbitan buku serta sebuah video korporat jabatan.
Dr. Mohd Asri berkata, inisiatif ini sangat penting dalam memastikan peranan Jabatan Mufti Negeri Perlis terus relevan berlandaskan konsep “Ilmiah, Mudah dan Berkesan.”

Menurutnya, pendekatan ini memastikan penyampaian hukum yang tepat, mesra masyarakat, serta mampu memberi impak positif kepada kehidupan umat Islam.
Projek multidisiplin ini menggabungkan kepakaran akademik daripada UUM dalam bidang pengajian Islam, sejarah dan tadbir urus dengan kepakaran industri kreatif bagi menterjemahkan hasil penyelidikan kepada bahan dokumentasi yang lebih menarik dan berimpak tinggi.
Kerjasama ini disifatkan sebagai langkah proaktif dalam merakam legasi institusi fatwa Perlis secara berautoriti, sekali gus memelihara memori institusi serta menyokong penyelidikan lanjutan dalam bidang pentadbiran institusi Islam.
Usaha pendokumentasian sistematik ini diharap dapat memperkukuh kefahaman masyarakat serta membantu Jabatan Mufti Negeri Perlis merancang hala tuju masa hadapan yang lebih responsif. – Dr. Sharifah Ismail dan Prof. Madya Dr. Nor Azlah Sham Rambely



