Program Briskwalk SQS. Semarakkan kempen “Jom Jalan Jom Sihat”. warga SQS hindari sedentari
Gambar oleh: Rosmaini Kashim
SINTOK, 28 Julai 2026 – Dalam usaha menyemarakkan gaya hidup sihat serta membudayakan aktiviti kecergasan di tempat kerja, Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah menganjurkan program Brisk Walk bertempat di sekitar kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), pagi tadi.
Program kecergasan yang dianjurkan secara bulanan di bawah kempen “Jom Jalan Jom Sihat” ini berlangsung dari jam 8.00 hingga 10.00 pagi. Aktiviti ini mendapat sambutan hangat daripada warga kerja SQS yang terdiri daripada gabungan staf akademik dan staf pentadbiran.

Inisiatif ini bertujuan untuk mendidik warga kerja pusat pengajian agar sentiasa aktif dan mengurangkan amalan gaya hidup sedentari yang kerap dikaitkan dengan persekitaran kerja pejabat dan akademik.
Pengerusi JKKP SQS, Dr. Rosmaini Kashim berkata, pelaksanaan program Brisk Walk di bawah kempen “Jom Jalan Jom Sihat” ini merupakan komitmen berterusan pusat pengajian dalam memastikan kebajikan fizikal dan mental warga kerja sentiasa berada pada tahap optimum.

“Melalui aktiviti ini, peserta bukan sahaja dapat membakar kalori dan meningkatkan tahap kecergasan, malah berpeluang menikmati keindahan persekitaran kampus dalam suasana yang santai. Aktiviti seperti ini terbukti dapat membantu mengurangkan tekanan kerja, mengeratkan hubungan sesama warga SQS serta meningkatkan motivasi untuk terus bekerja secara produktif,” katanya.
Program dimulakan dengan sesi pemanasan badan (warm-up) dan regangan otot sebelum peserta memulakan aktiviti Brisk Walk. Seusai aktiviti berjalan kaki, program diteruskan dengan sesi zumba yang berlangsung dalam suasana penuh semangat, sekali gus menambahkan keceriaan para peserta.

Menariknya, para peserta yang hadir berpakaian sukan menunjukkan komitmen yang tinggi dan semangat kebersamaan yang amat erat sepanjang aktiviti berlangsung.
Secara keseluruhannya, penganjuran program Brisk Walk SQS ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif utamanya dalam memupuk budaya hidup sihat, malah memperkukuh ukhuwah antara warga kerja pusat pengajian.
Langkah proaktif ini juga sejajar dengan aspirasi universiti dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals), khususnya SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan Yang Baik (Good Health and Well-being).



