Al-Minhaj Global Engagement perkukuh jaringan antarabangsa Pendidikan Islam UUM dan PSU
Gambar Muhammad Irfan Arshad
PATTANI, 29 Julai 2026: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan Program Al-Minhaj Global Engagement: Enriching Islamic Education & Cultural Understanding, sebuah program mobiliti akademik antarabangsa dengan kerjasama Faculty of Islamic Sciences, Prince of Songkla University (PSU), Pattani, Thailand.

Program ini menjadi platform strategik dalam memperkukuhkan pengantarabangsaan Pendidikan Islam melalui mobiliti akademik, pertukaran budaya, perkongsian ilmu dan pengembangan jaringan institusi antara kedua-dua universiti.
Program yang melibatkan pensyarah serta pelajar Diploma Pascasiswazah dalam Pendidikan (PGDE) Pendidikan Islamini memberi peluang kepada peserta mengikuti pengalaman pembelajaran autentik melalui penandaarasan kurikulum, perkongsian amalan terbaik pedagogi dan penerokaan sistem Pendidikan Islam di Thailand Selatan.
Antara pengisian utama ialah program mobiliti akademik ke Islamic Sciences Demonstration School, sebuah sekolah demonstrasi di bawah Faculty of Islamic Sciences, Prince of Songkla University, bagi meninjau pelaksanaan kurikulum, pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP), pembangunan sahsiah murid serta pengurusan sekolah berteraskan nilai-nilai Islam.

Pengerusi Program Al-Minhaj Global Engagement, Prof. Madya Dr. Mardzelah Makhsin berkata, program ini merupakan inisiatif strategik Pusat Pengajian Pendidikan UUM dalam memperkukuhkan agenda pengantarabangsaan melalui pengalaman pembelajaran rentas sempadan yang menghubungkan teori dengan amalan sebenar.
Menurutnya, program mobiliti akademik ini memberi peluang kepada bakal pendidik Pendidikan Islam memahami kepelbagaian model pendidikan Islam di rantau ASEAN, di samping memperkukuh kompetensi global, memperluas perspektif pendidikan dan meningkatkan keupayaan mengadaptasi amalan terbaik dalam konteks pendidikan masa hadapan.
Beliau turut menjelaskan bahawa program ini menyokong aspirasi UUM untuk melahirkan graduan yang memiliki perspektif antarabangsa, mampu membina jaringan akademik global di samping menghayati nilai-nilai Pendidikan Islam yang bersifat sejagat.
“Program ini turut mengukuhkan pelaksanaan agenda pengantarabangsaan universiti melalui mobiliti akademik, kolaborasi strategik dan pengoperasian kerjasama antarabangsa yang telah diwujudkan antara UUM dan Prince of Songkla University,” katanya.

Pengerusi Program PGDE dan PGDHELT, SoE, Dr. Faizahani Ab. Rahman menjelaskan bahawa penyertaan pelajar PGDE Pendidikan Islam dalam program mobiliti akademik ini membuka ruang pembelajaran berasaskan pengalaman yang melangkaui bilik kuliah.
“Pendedahan kepada sistem Pendidikan Islam di Thailand Selatan membolehkan pelajar memahami pendekatan pedagogi, pengurusan sekolah, pembinaan budaya pembelajaran serta amalan profesional guru dalam konteks masyarakat Melayu-Muslim.
“Pengalaman tersebut memperkayakan kompetensi profesional bakal guru Pendidikan Islam agar lebih bersedia menghadapi cabaran pendidikan dalam persekitaran global,” katanya.
Dalam usaha memperluaskan impak kerjasama antarabangsa, Pengurus Jaringan Industri dan Masyarakat serta Profesor/Felo Adjung, SoE, Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail telah mengadakan sesi perbincangan bersama pihak Islamic Sciences Demonstration School berkaitan pelaksanaan aktiviti jaringan akademik, pembangunan komuniti, pertukaran kepakaran, kolaborasi sekolah dan projek khidmat masyarakat yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi, manakala Pengurus Jawatankuasa Jaringan Antarabangsa, Ranking, Mobiliti, MoU/MoA/LoI, SoE, Dr. Muhammad Asyraf Abdul Rahman telah menyelaras aktiviti pengukuhan kerjasama di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara UUM dan PSU.

Program mobiliti akademik ini menjadi medium pengoperasian MoU melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti bersama yang meliputi mobiliti pelajar dan pensyarah, penyelidikan kolaboratif, penerbitan ilmiah, perkongsian kepakaran serta pembangunan program akademik yang menyokong agenda pengantarabangsaan kedua-dua universiti.
Sementara itu, Pengarah Projek, Muhammad Irfan Arshad berkata, program mobiliti akademik ini membuka ruang kepada pelajar membina jaringan antarabangsa melalui penerokaan amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) Pendidikan Islam di Pattani.
Menurutnya, interaksi secara langsung bersama pensyarah, guru dan pelajar di Islamic Sciences Demonstration School memberikan pengalaman pembelajaran yang bernilai dalam memahami pelaksanaan kurikulum, pendekatan pedagogi serta budaya pembelajaran di institusi pendidikan Islam antarabangsa.
Pengalaman tersebut memperkukuh kompetensi profesional bakal guru Pendidikan Islam dan meningkatkan keyakinan mereka untuk mengadaptasi amalan terbaik dalam persekitaran pendidikan yang pelbagai.
Sepanjang program mobiliti akademik ini, delegasi turut mengikuti sesi taklimat institusi, perbincangan akademik, perkongsian amalan terbaik, penerokaan ekosistem pembelajaran di Faculty of Islamic Sciences, Prince of Songkla University serta sesi dialog bersama pensyarah, pentadbir dan warga Islamic Sciences Demonstration School.

Penganjuran Al-Minhaj Global Engagement: Enriching Islamic Education & Cultural Understanding membuktikan komitmen Pusat Pengajian Pendidikan, UUM dalam memperkasakan pengantarabangsaan Pendidikan Islam melalui program mobiliti akademik yang mengintegrasikan kecemerlangan akademik, jaringan strategik, perkongsian kepakaran dan penghayatan kepelbagaian budaya.
Program ini menjadi wadah penting dalam melahirkan pendidik Pendidikan Islam yang memiliki kompetensi global, berupaya membina kolaborasi antarabangsa dan menyumbang kepada pembangunan pendidikan Islam yang lestari di peringkat serantau serta antarabangsa. – Prof. Madya Dr Mardzelah Makhsin



