Siri Ke-31 Latihan Eksekutif Halal perkukuh peranan IHM, UUM sebagai penyedia latihan halal
Berita dan gambar Nurul Syahidah Muhamad Puzi
SINTOK, 29 Julai 2026: Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan peranannya sebagai Penyedia Latihan Halal (PLH) apabila berjaya menganjurkan Latihan Pensijilan Eksekutif Halal Sesi Julai 2026 bagi siri yang ke-31 sepanjang penubuhan IHM, IBS, UUM.

Latihan kali ini telah disertai oleh 18 peserta daripada pelbagai sektor industri, agensi dan institusi pendidikan. Program ini telah berlangsung selama sembilan hari di Universiti Utara Malaysia bermula pada 5 sehingga 23 Julai 2026.
Antara wakil industri, agensi dan institut pendidikan yang terlibat ialah Kolej Pertanian Bukit Kayu Hitam (KPTM BKH), HA One Global Sdn. Bhd., Avient Colorant Malaysia Sdn. Bhd., Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Resort World Langkawi (Papago Sdn. Bhd.), EDC Hotel UUM, Hotel Grand Crystal, Morris Food Industries Sdn. Bhd. serta usahawan persendirian membuktikan bahawa kesedaran terhadap kepentingan jaminan halal semakin meningkat merentas pelbagai sektor.
Sepanjang latihan, peserta didedahkan dengan aspek perundangan halal, Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS), keperluan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM), standard halal Malaysia serta pelaksanaan audit halal dalaman yang menjadi elemen penting dalam pengurusan pensijilan halal.

Pengarah IHM, Dr. Nor Aina Mhd Khotib berkata, program ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman peserta terhadap keperluan pensijilan halal, malah turut menyediakan platform perkongsian pengalaman dan jaringan profesional antara peserta dengan tenaga pengajar yang berpengalaman dalam bidang halal.
Menurutnya, melalui latihan yang bersifat teori dan praktikal, peserta diharapkan mampu mengaplikasikan ilmu yang diperoleh bagi memperkukuhkan pematuhan halal di organisasi masing-masing serta menyumbang kepada pembangunan industri halal negara.
Pihak IHM berharap agar lebih ramai pemain industri, usahawan dan organisasi akan terus memanfaatkan program pembangunan kompetensi seperti ini bagi melahirkan lebih ramai Eksekutif Halal yang kompeten sekali gus memperkukuhkan ekosistem halal Malaysia selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi hab halal bertaraf global.



