General

Majlis penutupan STML Green Carnival 2026 dan penghargaan kepada pelajar tahun akhir

Berita dan gambar oleh: Prof. Madya Ts. Dr. Nurul Azita Bt Salleh

SINTOK, 24 Jun 2026 – STML Green Carnival 2026 yang berlangsung selama dua hari, bermula 23 hingga 24 Jun 2026, melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang menerusi Majlis Penutupan yang bukan sahaja meraikan kejayaan penganjuran program, malah menjadi medan penghargaan kepada pelajar tahun akhir yang telah berjaya menyempurnakan dan membentangkan Projek Tahun Akhir (Final Year Project, FYP) mereka.

Kemuncak STML Green Carnival 2026 diserikan dengan Majlis Penutupan dan Makan Malam FYP Students yang berlangsung di Hotel EDC-UUM bertemakan “Chinese Royal Elegance – The Dynasty of Excellent”.

Majlis tersebut menghimpunkan pelajar tahun akhir, para pensyarah serta jawatankuasa penganjur dalam suasana penuh kemesraan dan penghargaan. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan bagi memeriahkan majlis, antaranya persembahan nyanyian dan kumpulan muzik secara langsung (live band), sesi cabutan bertuah, penyampaian anugerah serta pelbagai aktiviti santai yang berjaya mewujudkan suasana yang ceria dan bermakna.

Majlis turut menyaksikan seramai 13 orang pelajar dipilih sebagai penerima Best Green Carnival Academic Project Presentation Award atas kecemerlangan mereka dalam pembentangan Projek Akademik.

Daripada jumlah tersebut, enam orang merupakan pelajar Program Pengurusan Teknologi (MOT), empat orang daripada Program Pengurusan Operasi (POM) dan tiga orang daripada Program Logistik dan Pengangkutan (LOG).

Sebagai penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi para penyelia dalam membimbing pelajar menghasilkan penyelidikan yang berkualiti, Best Academic Project Supervisor Award turut disampaikan kepada penyelia bagi setiap pelajar yang menerima anugerah berkenaan.

Secara keseluruhannya, Majlis Penutupan STML Green Carnival 2026 bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan kecemerlangan para penerima anugerah dan menghargai kejayaan pelajar tahun akhir yang telah menamatkan Projek Tahun Akhir mereka, malah menjadi simbol pengiktirafan terhadap usaha, komitmen dan dedikasi yang telah dipamerkan sepanjang tempoh pengajian.

Penganjuran STML Green Carnival 2026 sekali lagi membuktikan komitmen STML dalam memperkukuh budaya kecemerlangan akademik, memperkasakan penyelidikan dan inovasi, serta memupuk semangat kolaborasi dan kebersamaan dalam kalangan warga universiti ke arah melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia profesional.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button