Bengkel Penulisan Artikel perkasa hasil kajian impak inisiatif Belanjawan MADANI 2024
Berita dan gambar Khairul Anuar Adnan
LANGKAWI, 4 Ogos 2026: Bengkel Perbincangan dan Penulisan Artikel Jurnal Hasil Kajian Impak Inisiatif Belanjawan MADANI 2024 telah berlangsung selama empat hari bermula 27 hingga 30 Julai lalu di Hotel Adya Express Chenang.
Bengkel berkenaan menghimpunkan ahli panel dan penyelidik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Turut hadir ialah dua wakil Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu YM Ungku Joha Ungku Mohamad dan Mohd Afiq Zainal Azmi.
Penganjuran bengkel itu bertujuan membincangkan dapatan kajian secara terperinci, memperkemas analisis serta menyelaraskan penulisan artikel jurnal berasaskan hasil Kajian Impak Inisiatif Belanjawan MADANI 2024.
YM Ungku Joha berkata, dapatan kajian perlu diterjemahkan dalam bentuk penulisan akademik yang berkualiti agar dapat dijadikan rujukan oleh pembuat dasar dan pihak berkepentingan.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara penyelidik daripada pelbagai universiti bagi menghasilkan kajian yang komprehensif dan berimpak.
Sementara itu, Ketua Penyelidik, Prof. Dr. Mukaramah Harun yang juga profesor di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) berkata, bengkel itu menjadi platform penting untuk memperhalusi dapatan, memperkukuhkan analisis serta memastikan manuskrip yang dihasilkan memenuhi standard penerbitan akademik.

“Dapatan kajian perlu disampaikan secara tersusun, tepat dan berasaskan bukti. Melalui bengkel ini, setiap kumpulan penyelidik dapat menyelaraskan penulisan serta memberikan tumpuan kepada aspek analisis, metodologi dan implikasi dasar,” katanya.
Selain sesi perbincangan dan penulisan artikel, Bengkel Pembentukan Indeks Komposit Berasaskan Principal Component Analysis (PCA) dan Normalisasi Fuzzy Menggunakan Perisian Stata turut diadakan.
Bengkel teknikal itu dikendalikan oleh Pensyarah Kanan SEFB, Dr. Mohamad Helmi Hidthiir yang juga merupakan salah seorang penyelidik kajian berkenaan.
Sesi tersebut memberikan pendedahan kepada peserta mengenai kaedah pembentukan indeks komposit secara sistematik menggunakan pendekatan PCA dan Normalisasi Fuzzy.
Sepanjang bengkel, peserta terlibat dalam pembahagian skop dan tugasan penulisan serta semakan kandungan artikel dengan memberikan penekanan terhadap ketepatan data, kekuatan analisis, kesesuaian metodologi dan pemilihan jurnal yang berpotensi untuk penerbitan.

Bengkel itu diharap dapat menghasilkan artikel jurnal berkualiti, memperkukuh kerjasama antara institusi serta memperluas penyebaran dapatan kajian kepada komuniti akademik, pembuat dasar dan pihak berkepentingan.
Hasil kajian tersebut dijangka dapat memberikan input dalam menilai keberkesanan pelaksanaan inisiatif di bawah Belanjawan MADANI 2024, sekali gus menyokong perancangan dan penambahbaikan dasar kerajaan pada masa hadapan.



