CeTMA jayakan Program Misi Duit Bijak: Board Game Celik Kewangan bersama komuniti Kampung Pulau Tuba
Berita dan gambar Nabila Ayuni Saiful Bahari
LANGKAWI, 4 Ogos 2026: Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjayakan Program Misi Duit Bijak: Board Game Celik Kewangan sebagai sebahagian daripada pengisian Program Jalinan Kasih Siswa Inapan Siswa (Inasis) TNB (JAKSIN) yang berlangsung di Kampung Pulau Tuba, Langkawi.
Dalam program ini, CeTMA berperanan sebagai Sekretariat dan Rakan Kerjasama bagi menyokong pelaksanaan aktiviti pemindahan ilmu kepada komuniti setempat.

Pengarah CeTMA, Prof. Madya Dr. Zahayu Md Yusof berkata, program yang diadakan di Dewan Teluk Bujur itu telah menghimpunkan seramai 35 peserta yang terdiri daripada golongan remaja dan dewasa untuk menyertai aktiviti pembelajaran berasaskan permainan (board game) yang interaktif dan menyeronokkan.
Menurutnya, melalui pendekatan gamifikasi, peserta didedahkan kepada konsep asas pengurusan kewangan seperti pengurusan pendapatan, amalan menabung, perbelanjaan berhemah serta membuat keputusan kewangan yang lebih bijak dalam situasi kehidupan sebenar.
“Pendekatan ini turut meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan transaksi digital serta risiko penipuan kewangan,” katanya.
Sepanjang program berlangsung, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi menyertai pertandingan board game yang dijalankan dalam tiga pusingan. Kaedah pembelajaran secara simulasi ini berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif, di samping menggalakkan komunikasi, pemikiran kritis dan kerjasama dalam kalangan peserta.

Acara turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan sebagai penghargaan atas penyertaan dan pencapaian mereka. Peserta turut memberikan maklum balas yang positif terhadap pendekatan pembelajaran berasaskan permainan yang disifatkan lebih mudah difahami, interaktif dan menyeronokkan.
Program Misi Duit Bijak: Board Game Celik Kewangan merupakan antara pengisian yang menyokong objektif Program JAKSIN dalam memperkukuhkan hubungan universiti dengan komuniti melalui aktiviti pembangunan sosial, pendidikan dan pemerkasaan masyarakat.
Kerjasama strategik antara CeTMA dan pihak Inasis TNB ini turut mencerminkan komitmen UUM dalam melaksanakan tanggungjawab sosial universiti (University Social Responsibility – USR) serta menyumbang kepada pencapaian SDG 4 ( Quality Education ), dan SDG 8 ( Decent Work and Economic Growth ).
Penganjuran program ini diharapkan dapat terus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan kewangan yang bijak, di samping memperkukuhkan jalinan kerjasama antara universiti dan komuniti dalam melaksanakan program-program berimpak tinggi.



