UUM perkukuh kerjasama akademik Malaysia–Indonesia melalui Program Pengabdian Masyarakat Matematika UNJ 2026
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Nazihah Ahmad
INDONESIA, 4 Ogos 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan agenda pengantarabangsaan menerusi penyertaan dalam Program Pengabdian Masyarakat Matematika UNJ 2026 anjuran Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), Universitas Negeri Jakarta (UNJ) yang berlangsung di SMPN Satu Atap 01 Pulau Pari, Kepulauan Seribu, Indonesia.
Program ini menghimpunkan ahli akademik daripada UNJ dan UUM bagi berkongsi kepakaran dalam memperkasakan kompetensi guru melalui pendekatan pedagogi inovatif, teknologi pendidikan serta pembelajaran matematik yang selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21.

Sebagai penganjur program, FMIPA UNJ memulakan siri perkongsian ilmu melalui tiga slot utama di mana Dr. Eti Dwi Wiraningsih membentangkan aplikasi Deep Learning dalam pembelajaran, diikuti Ndaru Atmi Purnami yang berkongsi pendekatan Model Polya dalam penyelesaian masalah dan pemodelan matematik.
Seterusnya, Ridho Suharis menyampaikan perkongsian mengenai pembelajaran digital sebagai medium untuk memperkasakan pengajaran dan pembelajaran matematik. Ketiga-tiga perkongsian ini memberi pendedahan kepada para peserta mengenai strategi pedagogi berasaskan teknologi yang mampu meningkatkan penglibatan murid, merangsang pemikiran aras tinggi serta memperkukuh keberkesanan pembelajaran di bilik darjah.
Melengkapkan pengisian program, SQS UUM telah memulakan sesi dengan memperkenalkan UUM dan SQS melalui pembentangan oleh Prof. Madya Dr. Syariza Abdul Rahman, diikuti Prof. Madya Dr. Nazihah Ahmad memberi perkongsian bertajuk Etnomatematika dalam Warisan Budaya, manakala Dr. Ayu Abdul Rahman berkongsi inovasi pembelajaran berasaskan permainan (Game-Based Learning) dalam pengajaran matematik.
Etnomatematik memperkenalkan pendekatan pembelajaran yang menghubungkan konsep matematik dengan budaya, tradisi dan kehidupan seharian masyarakat setempat. Guru-guru dibimbing mengenal pasti unsur etnomatematik dalam kehidupan masyarakat Pulau Pari, meneroka potensi pembelajaran berasaskan permainan serta mereka bentuk aktiviti pembelajaran yang mengintegrasikan budaya tempatan dengan konsep matematik. Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan pembelajaran lebih kontekstual dan bermakna, malah membantu memupuk penghargaan terhadap warisan budaya sebagai sumber pembelajaran yang autentik.

Dr. Syariza berkata, kolaborasi antara FMIPA UNJ dan SQS UUM berjaya menggabungkan kepakaran dalam bidang teknologi pendidikan, pemikiran matematik, pembelajaran digital, etnomatematik dan pembelajaran berasaskan permainan bagi memperkukuh pembangunan profesional guru.
“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, malah membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat dalam bidang penyelidikan, pembangunan modul pembelajaran, penerbitan ilmiah, serta pelaksanaan program khidmat masyarakat yang memberi impak kepada komuniti pendidikan di Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Selaku Ketua Program Pengabdian Masyarakat, Dr. Eti Dwi Wiraningsih berharap agar kerjasama antara FMIPA UNJ dan SQS UUM tidak terhenti dengan tamatnya program ini.
“Kami amat menghargai perkongsian kepakaran daripada UUM sepanjang program ini. Semoga kolaborasi seperti ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan pada masa hadapan melalui pelbagai program akademik, penyelidikan dan pengabdian kepada masyarakat yang memberi manfaat kepada kedua-dua universiti serta komuniti,” katanya.

Penyertaan UUM dalam program ini mencerminkan komitmen universiti untuk terus memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa melalui pemindahan ilmu, perkongsian kepakaran dan penglibatan komuniti.
Selaras dengan aspirasi UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka, inisiatif ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan akademik Malaysia–Indonesia serta menyumbang kepada pembangunan pendidikan yang berkualiti, inovatif dan lestari di peringkat serantau.



