General

UUM perhebat agenda EKSA, santuni amalan terbaik JPA dan KKM

Gambar oleh: JPA dan KKM

PUTRAJAYA, 29 – 30 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkasakan amalan kecemerlangan persekitaran kerja menerusi Program Pemantapan Amalan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Ke Arah Pensijilan yang dijalankan di dua agensi Persekutuan di sini.

Program ini dilaksanakan selama dua hari bermula 29 hingga 30 Julai 2026 itu melibatkan kehadiran delegasi UUM ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meneliti serta berkongsi amalan terbaik persekitaran kerja sektor awam.

Delegasi UUM diketuai oleh Ketua Delegasi, Dr. Nur Syazwani Mohd Nawi bersama Encik Mohd. Zulkifli Mohd. Noor @ Muhammad dan Puan Faizah Hashim, serta dianggotai seramai 21 peserta merangkumi Ketua Zon EKSA, Setiausaha Zon, Penyelaras, Juruaudit, dan pegawai Pusat Pengurusan Kualiti Akreditasi (PPQA) UUM.

Siri program ini bermula dengan sesi kunjungan rasmi ke JPA yang disambut oleh Timbalan Pengarah Cawangan Sumber Manusia, Bahagian Khidmat Pengurusan JPA, YBrs. Dr. Sharifah Azlina binti Syed Anuar.

Dalam sesi berkenaan, delegasi turut mendengar pembentangan khas berhubung pelaksanaan EKSA Sektor Awam yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Inspektorat dan Khidmat Rundingan Pemodenan, Bahagian Reformasi Sektor Awam, YBrs. Dr. Muhammad Arafat bin Nordin bersama Sekretariat Induk EKSA JPA.

Selain sesi pembentangan, peserta program turut berpeluang melakukan tinjauan di beberapa zon utama JPA merangkumi Zon Ungku Abdul Aziz (Bahagian Khidmat Pengurusan), Zon Ibu Zain (Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar), Zon Raja Ali Haji (Bahagian Pencen) serta Zon Anwar Ridhwan (Bahagian Pengurusan Psikologi).

Delegasi UUM kemudiannya meneruskan program ke Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (IPKKM) di Blok E3, Kompleks E, Putrajaya.

Di KKM, delegasi disambut oleh Sekretariat Induk EKSA KKM sebelum dibawa ke fasiliti perkhidmatan seperti Zon Kejuruteraan di Aras 5 dan 7 serta Zon Pemakanan di Aras 1.

Tinjauan berkenaan merangkumi pemeriksaan ruang kerja unit pentadbiran, kaunter kewangan, pantri, serta ruang guna sama bagi memperolehi gambaran menyeluruh amalan piawaian tinggi EKSA.

Penganjuran program ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi iltizam warga UUM dalam membudayakan persekitaran kerja yang mampan, kondusif, dan berprestasi tinggi demi mencapai pensijilan EKSA universiti. – Mohamad Hapisol Othman

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button