SBM teroka peluang kolaborasi akademik bersama Shandong Jianzhu University
Gambar Wan Mohamad Kamil Wan Salim
SINTOK, 5 Ogos 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kunjungan hormat delegasi dari Shandong Jianzhu University, China dalam satu sesi perbincangan kolaborasi yang berlangsung di Bilik Selangor, SBM, semalam.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi SBM, Prof. Madya Dr. Zuraida Hassan berkata, lawatan tersebut merupakan langkah awal ke arah memperkukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua institusi, khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi dan pengantarabangsaan.
Menurutnya, lawatan itu juga mencerminkan komitmen SBM untuk terus memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa dengan institusi pengajian tinggi yang mempunyai kepakaran dan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
“SBM juga melihat potensi besar untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa, khususnya dari China, menyambung pengajian di UUM melalui program ijazah, pascasiswazah dan program mobiliti akademik,” katanya.
Sesi perbincangan ini menjadi platform untuk meneroka pelbagai peluang kerjasama yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua universiti dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pendidikan tinggi di peringkat global.

Antara perkara yang dibincangkan termasuklah pelaksanaan penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah berimpak tinggi, mobiliti pelajar dan pensyarah, pertukaran kepakaran, pembangunan kurikulum, penganjuran seminar dan persidangan antarabangsa serta pembangunan program akademik yang berpotensi dilaksanakan secara bersama.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi pengambilan pelajar antarabangsa dari China ke program-program akademik yang ditawarkan di SBM serta peluang memperluaskan program pertukaran pelajar (student exchange) dan mobiliti jangka pendek.
Inisiatif ini dilihat mampu meningkatkan pengalaman pembelajaran rentas budaya, memperkukuh kompetensi global pelajar serta menyokong agenda pengantarabangsaan UUM.
Sepanjang lawatan tersebut, delegasi Shandong Jianzhu University turut diberikan taklimat mengenai profil, pencapaian serta kekuatan SBM sebagai antara pusat pengajian pengurusan perniagaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai bidang kepakaran yang berpotensi untuk diterokai melalui kerjasama penyelidikan, pembangunan akademik dan aktiviti pengantarabangsaan.
Lawatan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada aspirasi UUM untuk memperkukuh kecemerlangan akademik, memperluaskan jaringan penyelidikan antarabangsa serta meningkatkan mobiliti dan pengambilan pelajar antarabangsa selaras dengan agenda pengantarabangsaan universiti. – Azam Arni Mohd Noor



