Aplikasi mudah alih perkasa pemindahan ilmu Islam dalam kalangan komuniti UUM
Program pemindahan ilmu melalui aplikasi Hawa, Lady’s Fiqh dan eMusafir
Gambar Laura Lim Sie Yi
SINTOK, 6 Ogos 2026: Usaha memperkasakan pembelajaran Islam menerusi pendekatan digital diperkukuhkan melalui program pemindahan ilmu menggunakan tiga aplikasi mudah alih iaitu Hawa, Lady’s Fiqh dan eMusafir.

Program itu menjadi platform penyampaian kandungan ilmu Islam yang telah didigitalkan kepada komuniti di bawah Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) melibatkan golongan mualaf, anak yatim UUM daripada Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Anak Asnaf (RUKAYDA) UUM serta Sahabat Masjid UUM.
Sesi bersama komuniti mualaf telah diadakan pada 9 Mei lalu, manakala program untuk komuniti Anak Yatim UUM dan Sahabat Masjid UUM berlangsung pada 26 Jun di Masjid Sultan Badlishah, UUM yang melibatkan seramai 43 peserta.
Ketua projek, Prof. Madya Noraziah Che Pa dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SoC) berkata, program itu bertujuan memperluaskan akses masyarakat kepada ilmu Islam melalui penggunaan teknologi mudah alih.
“Program ini dilaksanakan bagi memindahkan kandungan ilmu Islam yang telah didigitalkan kepada komuniti sasaran melalui aplikasi yang mudah dicapai, fleksibel dan sesuai dengan keperluan pembelajaran masa kini,” katanya.

Ketiga-tiga aplikasi berkenaan merupakan produk penyelidikan Geran Inovasi Sosial (SIG) yang diketuai beliau bersama Prof. Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Prof. Madya Dr. Syamsul Bahrin Zaibon dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) serta Nur Azzah Abu Bakar dari SoC.
Sesi pemindahan ilmu dimulakan dengan penerangan mengenai objektif program dan pengenalan kepada kandungan Islam yang terdapat dalam setiap aplikasi. Peserta kemudiannya diberi peluang meneroka aplikasi secara kendiri menggunakan peranti mudah alih.
Pendekatan berasaskan pengalaman itu membolehkan peserta berinteraksi secara langsung dengan bahan pembelajaran, sekali gus menggalakkan pembelajaran aktif dan pemerolehan ilmu secara kendiri.
Pelaksanaan program menunjukkan perubahan positif dari aspek pengetahuan, tingkah laku dan kemahiran peserta. Mereka melaporkan peningkatan pemahaman berkaitan solat wanita, fiqh wanita serta amalan Islam ketika bermusafir.

Penggunaan aplikasi turut membantu peserta mendapatkan maklumat yang relevan dengan lebih cepat dan selesa tanpa bergantung sepenuhnya kepada kuliah bersemuka, bahan bercetak atau konsultasi secara langsung.
Dari aspek tingkah laku, peserta menunjukkan motivasi dan keyakinan yang lebih baik untuk mempelajari serta mengamalkan pengetahuan Islam dalam kehidupan seharian. Mereka juga menjadi lebih berupaya mencari maklumat Islam melalui platform digital dan mengaplikasikannya dalam situasi praktikal.
Program itu memperlihatkan potensi aplikasi mudah alih sebagai medium pemindahan ilmu yang fleksibel, mudah dicapai dan selari dengan gaya hidup digital masyarakat masa kini. Penggunaan Hawa, Lady’s Fiqh dan eMusafir turut membantu meningkatkan kemahiran digital serta menyokong budaya pembelajaran kendiri dalam kalangan komuniti UUM. – Nur Azzah Abu Bakar



