SQS terima kunjungan penanda aras UTHM perkukuh kerjasama akademik dalam bidang sains kuantitatif
Gambar Zamalik Hassan
SINTOK, 9 Ogos 2026: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan penanda aras daripada Jabatan Matematik dan Statistik, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 4 Ogos lalu.
Delegasi UTHM yang diketuai oleh Ketua Jabatan Matematik dan Statistik, Dr. Maria Elena Nor bersama Ketua Program Prasiswazah iaitu Dr. Norzuria Ibrahim, Dr. Rohayu Mohd Salleh dan Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin disambut oleh Dekan SQS, Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi bersama barisan pengurusan SQS.

Dr. Nerda Zura berkata, kunjungan ini bagi berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan akademik dan memperkukuhkan jaringan kerjasama antara kedua-dua institusi.
Beliau turut menyatakan bahawa hubungan antara SQS dan FAST mempunyai potensi besar untuk diperkukuhkan melalui pelbagai inisiatif akademik dan penyelidikan.
“Saya berharap hubungan yang terjalin melalui sesi penanda aras ini dapat diteruskan melalui pelaksanaan mobiliti staf dan pelajar, penyelidikan bersama, penganjuran seminar akademik secara kolaboratif, program penanda aras dua hala serta kerjasama strategik lain yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua institusi,” katanya.
Program penanda aras ini diadakan atas inisiatif UTHM sebagai sebahagian daripada persediaan memenuhi keperluan Audit Pematuhan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi program-program prasiswazah di bawah Jabatan Matematik dan Statistik, FAST.
Sepanjang sesi tersebut, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan dan berkongsi amalan terbaik berkaitan pelbagai aspek pengurusan akademik, termasuk pembangunan dan semakan kurikulum, pelaksanaan Outcome-Based Education (OBE), sistem pentaksiran, pengurusan latihan industri, pengendalian projek ilmiah pelajar, pensijilan profesional dan kompetensi, kebolehpasaran graduan, serta lawatan ke fasiliti pembelajaran dan pengajaran di SQS.

Salah satu aspek yang mendapat perhatian khusus daripada delegasi UTHM ialah Sistem OBE UUM yang dilihat sebagai sebuah platform bersepadu bagi menyokong pengurusan akademik program secara menyeluruh.
Sistem tersebut bukan sahaja mengintegrasikan pelbagai komponen pengurusan akademik dalam satu platform, malah mampu menghasilkan analisis pencapaian pelajar yang terperinci sehingga ke peringkat Course Learning Outcomes (CLO) dan Learning Outcomes Cluster (LOC), sekali gus menyokong proses penambahbaikan kualiti secara berterusan (Continuous Quality Improvement, CQI).
Sementara itu, Dr. Maria Elena Nor berkata, pihaknya amat menghargai kesediaan SQS menerima kunjungan tersebut serta berkongsi pelbagai amalan terbaik yang telah dilaksanakan di UUM.
“Program penanda aras ini amat bermanfaat dan memberikan banyak pendedahan kepada kami mengenai amalan pengurusan akademik di UUM yang boleh dijadikan rujukan dalam memperkukuh pelaksanaan program di UTHM.

“Memandangkan kedua-dua institusi menawarkan program yang mempunyai banyak persamaan, saya melihat terdapat potensi besar untuk kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan,” katanya.
Program ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman, malah mencerminkan komitmen kedua-dua universiti dalam memperkukuhkan budaya penambahbaikan berterusan, meningkatkan kualiti penyampaian akademik serta memperluas jaringan kolaborasi strategik dalam bidang matematik, statistik, sains pemutusan, dan analitik data demi melahirkan graduan yang berkualiti, kompeten dan memenuhi keperluan industri. – Teh Yuan Ying


