Education

UUM dan JHEAIK bincang perluasan Program Pemerkasaan Tadbir Urus Institusi Pendidikan Islam

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Hazeline Ayoup

ALOR SETAR, 9 Ogos 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Institut Kajian Strategik dan Pembangunan Perakaunan Mampan (ISSAD), Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) telah mengadakan satu sesi perbincangan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) bagi meneroka kerjasama lanjutan dalam memperkasa tadbir urus dan pengurusan kewangan institusi pendidikan Islam di Negeri Kedah.

Perbincangan ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan pelaksanaan program rintis Pemerkasaan Tadbir Urus dan Pengurusan Kewangan Pusat Tahfiz yang bermula pada tahun 2025 dan berjaya disempurnakan pada Jun 2026.

Delegasi UUM diketuai oleh Prof. Dr. Natrah Saad bersama Prof. Dr. Siti Zabedah  Saidin, Prof. Madya Dr. Hazeline Ayoup dan Mohamad Sharofi Ismail, manakala pihak JHEAIK diwakili oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Sheikh Hasbullah Md. Mukhtar.

Dr. Natrah berkata, perbincangan memberi fokus kepada usaha memperluaskan program pembangunan kapasiti kepada lebih banyak institusi pendidikan Islam di seluruh negeri.

Sepanjang sesi tersebut, kedua-dua pihak membincangkan cadangan memperluaskan latihan dalam bidang tadbir urus, pengurusan kewangan dan pengurusan organisasi kepada pusat tahfiz serta Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Pengarah ISSAD, Dr. Hazeline berkata, pengukuhan kerjasama strategik bersama JHEAIK diharap dapat memperluaskan pemindahan ilmu dan amalan terbaik dalam pengurusan institusi pendidikan Islam, sekali gus membantu meningkatkan tahap akauntabiliti, ketelusan dan kemampanan pengurusan organisasi.

“Inisiatif ini juga dilihat mampu memperkukuh pembangunan institusi pendidikan Islam di Negeri Kedah agar lebih berdaya saing dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran semasa,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button