Pensyarah SOL bentang penilaian undang-undang keselamatan kepada ahli parlimen
Berita dan gambar Dr. Mukhriz Mat Rus
KUALA LUMPUR, 9 Ogos 2026: Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL) yang juga Ketua Unit Integriti UUM, Dr. Mukhriz Mat Rus telah dijemput oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang (JKPK SUU), Dewan Negara, Parlimen Malaysia untuk membentangkan penilaian terhadap kerangka undang-undang keselamatan negara dalam ‘Simposium Berkenaan Jenayah Berhubung Keselamatan Negara’ di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen Malaysia.

Simposium tersebut merangkumi ucaptama oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran V. Murugeson serta ucapan alu-aluan daripada Pengerusi JKPK SUU, Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Dato’ Raja Nushirwan Zainal Abidin, ahli-ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta wakil agensi keselamatan negara.
Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato’ Awang Bemee Awang Ali Basah.

Menerusi simposium tersebut, Dr. Mukhriz menyampaikan pembentangan bertajuk “Menilai Semula Keberkesanan Kerangka Perundangan Keselamatan Negara di Malaysia” yang memberi tumpuan kepada penilaian semula perundangan keselamatan sedia ada, mengenal pasti jurang serta cabaran perundangan, dan mengemukakan syor penambahbaikan bagi memperkukuh kerangka keselamatan negara.
Jemputan Dr. Mukhriz ke program peringkat Parlimen yang melibatkan pembuat undang-undang negara ini merupakan satu pengiktirafan terhadap kepakaran ahli akademik UUM dalam menyumbang kepada proses reformasi dan penambahbaikan undang-undang dan polisi keselamatan negara.



