Education

Pensyarah SLCP pindah ilmu ‘Celik Kewangan’ kepada peserta BAKAT di Kem Rejimen Sempadan RS 5

Gambar Syahrina Abdullah

BUKIT KAYU HITAM, 9 Ogos 2026: Komitmen Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam memperkasakan komuniti melalui pemindahan ilmu diteruskan apabila penyelidik dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) berkongsi pengetahuan mengenai Penyediaan Penyata Kewangan kepada peserta Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) sempena pelaksanaan Program Pemindahan Ilmu (KTP) Ekonomi Madani: Keusahawanan Kelulut 2026 di Dewan BAKAT, Kem Rejimen Sempadan 5.

Sesi latihan ini dikendalikan oleh pasukan penyelidik UUM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie, Dr. Mohamad Faizal Abd. Matalib dan Syahrina Abdullah.

Program tersebut disertai oleh seramai 20 ahli BAKAT yang sedang mengikuti projek pembangunan keusahawanan kelulut sepanjang tahun 2026.

Dr. Mohamad Khadafi berkata, program ini merupakan projek pemerkasaan ekonomi komuniti di bawah inisiatif Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pelaksanaan di bawah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) UUM.

Menurutnya, objektif utama bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan penyediaan penyata kewangan sebagai alat mengira pendapatan dan belanjawan, menyediakan aliran tunai kewangan serta penyediaan penyata untung rugi perniagaan dalam membangunkan dan mengurus sesebuah perniagaan secara sistematik.

“Peserta dilatih menyediakan perancangan kewangan sebelum sesuatu projek dilaksanakan dan mengira margin keuntungan (ROI) yang bakal diperolehi.

“Penyediaan penyata kewangan dapat membantu usahawan merancang aliran tunai dan penyata kewangan dengan lebih telus, mengenal pasti pulangan dan margin keuntungan serta membina mekanisme kewangan yang sistematik sebelum memulakan operasi sebenar.

“Pendekatan ini juga dapat meningkatkan keyakinan peserta dalam membuat keputusan perniagaan secara lebih strategik dan berdaya saing,” katanya.

Melalui pendekatan pembelajaran secara interaktif, peserta dibimbing menyediakan penyata kewangan bagi projek penternakan kelulut yang bakal diusahakan. Aktiviti berkumpulan turut diadakan bagi membolehkan peserta mengenal pasti potensi perniagaan dan pendapatan, perbelanjaan serta margin keuntungan (ROI) yang bakal diperoleh melalui penghasilan produk berasaskan madu kelulut.

Selain sesi perkongsian ilmu, peserta turut berpeluang membentangkan hasil penyediaan Penyata Kewangan dan menerima maklum balas daripada kumpulan penyelidik. Perbincangan dua hala ini memberi ruang kepada peserta memahami dengan lebih jelas lagi kepentingan penyediaan penyata kewangan perniagaan.

Program ini merupakan antara pengisian penting dalam fasa pembangunan kompetensi kewangan peserta sebelum memasuki latihan teknikal penternakan kelulut, penghasilan produk, penjenamaan dan pemasaran yang akan dilaksanakan secara berperingkat di bawah Program KTP Ekonomi MADANI 2026.

Secara keseluruhannya, sesi perkongsian ilmu Bijak Kewangan melalui Penyediaan Penyata Kewangan ini berjaya meningkatkan kefahaman peserta terhadap aspek perancangan kewangan dan membentuk asas yang kukuh untuk melahirkan usahawan kelulut yang lebih memahami kaedah pengurusan kewangan.

Inisiatif Bijak Kewangan ini turut mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkukuh hubungan strategik bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui program pemindahan ilmu yang memberi impak langsung kepada pembangunan ekonomi komuniti tertama dari aspek pengurusan kewangan yang sistematik. – Dr. Mohamad Faizal Abd. Matalib

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button