Campus

SoIS meterai empat LoI dengan universiti di Indonesia

Gambar Mohd Khairil Hazree Hairudin

SINTOK, 10 Ogos 2026: Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan jaringan antarabangsa menerusi inisiatif empat Surat Hasrat (LoI) dengan universiti di Indonesia sebagai langkah strategik ke arah memperluaskan kerjasama akademik dan penyelidikan di peringkat antarabangsa.

Empat universiti terbabit ialah Universitas Teuku Umar (UTU), Universitas Halu Oleo (UHO), Universitas Riau (UNRI) dan Universitas Malikussaleh (UNIMAL) di mana majlis pemeteraian dan penyerahan LoI berkenaan berlangsung di Auditorium SoIS, UUM Sintok pada 4 Ogos lalu bersempena Program Kerjasama Akademik dan Khidmat Masyarakat Antarabangsa Malaysia-Indonesia-Thailand.

LoI antara UUM dan Universitas Teuku Umar (UTU) telah ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani mewakili UUM, manakala Rektor Universitas Teuku Umar, Prof. Dr. Nyak Amir, S.Pd., M.Pd., menandatangani bagi pihak UTU.

Tiga LoI yang lain telah diserahkan kepada wakil Universitas Halu Oleo, Universitas Riau dan Universitas Malikussaleh sebagai tanda komitmen untuk meneruskan proses kerjasama antara UUM dengan universiti masing-masing.

Dekan SoIS, Prof. Madya Dr. Nazariah Osman berkata, pemeteraian dan penyerahan LoI tersebut mencerminkan komitmen SoIS dalam mendukung agenda pengantarabangsaan UUM melalui pembinaan jaringan strategik yang lebih tersusun dan berterusan dengan institusi pengajian tinggi di Indonesia.

Melalui LoI tersebut, beberapa bidang kerjasama strategik dikenal pasti untuk diteroka dan diperkembangkan, antaranya kolaborasi akademik dan penyelidikan, pelaksanaan penyelidikan bersama, permohonan geran penyelidikan antarabangsa serta program mobiliti pelajar dan staf.

Kerjasama tersebut turut membuka ruang kepada usaha memperluas promosi program pascasiswazah UUM kepada komuniti akademik di Indonesia, sekali gus meningkatkan keterlihatan UUM serta menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

Lebih signifikan, inisiatif LoI berkenaan bukan sekadar menandakan hubungan formal antara institusi, malah menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang dapat diterjemahkan kepada pelbagai program dan hasil yang memberi manfaat bersama.

Jaringan yang dibentuk berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada ahli akademik dan penyelidik untuk berkongsi kepakaran, membangunkan projek penyelidikan rentas negara, meneroka peluang penerbitan bersama serta memperluas akses kepada geran penyelidikan antarabangsa.

Pada masa sama, kerjasama dalam aspek mobiliti pelajar dan staf dijangka dapat meningkatkan pendedahan antarabangsa, perkongsian ilmu dan pengalaman akademik, selain menggalakkan interaksi rentas budaya dalam kalangan warga institusi yang terlibat.

Inisiatif empat LoI ini sekali gus memperkukuh peranan SoIS sebagai pemacu kepada usaha memperluas jaringan akademik antarabangsa UUM, khususnya dengan institusi pengajian tinggi di Indonesia. Inisiatif ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan kerjasama akademik dan penyelidikan yang lebih berimpak serta memperkukuh kedudukan UUM dalam jaringan pendidikan tinggi serantau dan antarabangsa. – Prof. Madya Dr. Siti Darwinda Mohamed Pero

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button