UUM perkasa usahawan wanita melalui Program Keusahawanan, Kewangan dan Pemasaran Digital
Gambar Muhd Syazwie Solihin
SINTOK, 10 Ogos 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan agenda pemerkasaan komuniti apabila berjaya melaksanakan program “Dari Impian ke Realiti: Kuasai Pemasaran Digital dan Pengurusan Kewangan dalam Keusahawanan Wanita di Kubang Pasu” di bawah pembiayaan Skim Geran Inovasi Sosial (SIGS) 2025 (Kod S/O 22023).
Kemuncak program tersebut diraikan melalui Majlis Penutupan, Penyampaian Sijil dan Penyerahan Peralatan Keusahawanan yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pusat Kerjasama Universiti Industri (CUIC), Prof. Madya Dr. Mohamad Farhan Mohamad Mohsin.

Dalam ucapannya, beliau berkata, program seumpama ini membuktikan komitmen UUM dalam memindahkan ilmu dan kepakaran universiti kepada masyarakat melalui pendekatan yang bersifat praktikal, lestari dan memberi impak secara langsung kepada komuniti.
“Usahawan wanita memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi keluarga dan negara. Justeru, UUM sentiasa komited untuk membantu meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta daya saing mereka agar mampu menghadapi cabaran ekonomi digital yang semakin berkembang,” katanya.
Program ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Logasvathi Murugiah selaku Ketua Penyelidik bersama barisan penyelidik yang terdiri daripada Dr. Juhaida Abu Bakar, Dr. Azrain Nasyrah Mustapa, Syahrina Abdullah dan Ts. Dr. Mathivannan Jaganathan.
Sepanjang pelaksanaan program, peserta mengikuti 10 sesi latihan intensif yang memberi fokus kepada tiga komponen utama iaitu keusahawanan, pengurusan kewangan dan pemasaran digital. Antara kandungan latihan termasuk pengurusan kewangan perniagaan, strategi pemasaran digital, penjenamaan produk, penggunaan media sosial sebagai platform pemasaran, pembangunan kandungan digital serta penerapan teknologi digital bagi meningkatkan prestasi perniagaan.

Seramai sembilan usahawan wanita daripada Persatuan Usahawan Wanita Bukit Kayu Hitam, Persatuan Wanita Inspirasi Mampan Jerlun dan USAHANITA Negeri Kedah – Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia telah menyertai program ini.
Sebagai kesinambungan kepada latihan yang diterima, para peserta turut menerima peralatan keusahawanan yang dapat membantu memperkukuhkan operasi perniagaan dan meningkatkan produktiviti mereka.
Sementara itu, Ketua Penyelidik, Dr. Logasvathi berkata, objektif utama program adalah untuk meningkatkan keupayaan usahawan wanita melalui pemindahan ilmu dan latihan yang bersesuaian dengan keperluan semasa.
“Selain memberi pengetahuan dalam aspek pengurusan kewangan dan pemasaran digital, program ini turut membina keyakinan peserta untuk memanfaatkan teknologi digital sebagai medium memperluaskan pasaran serta meningkatkan pendapatan,” katanya.
Peserta turut melahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada UUM atas peluang mengikuti latihan profesional yang disediakan.

Mereka menyifatkan program tersebut telah membuka perspektif baharu dalam mengurus perniagaan secara lebih sistematik, selain meningkatkan keyakinan untuk meneroka peluang perniagaan melalui platform digital.
Pelaksanaan program ini mencerminkan peranan aktif UUM sebagai universiti yang bukan sahaja menumpukan kepada kecemerlangan akademik dan penyelidikan, malah komited dalam menjayakan agenda pemindahan ilmu, inovasi sosial dan pembangunan komuniti.
Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan masyarakat yang berdaya saing, berinovasi dan mampu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara. – Ts. Dr. Mathivannan Jaganathan



