Majlis Apresiasi SEFB 2026: Menghargai jasa, menyemarak kecemerlangan
Gambar oleh: Muhammad Syazwi Solihin
SINTOK, 6 Ogos 2026 – Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) meraikan warga kerjanya menerusi Majlis Apresiasi SEFB 2026 yang berlangsung penuh meriah di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM Sintok, Kedah.
Majlis yang diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada seluruh warga SEFB itu menzahirkan apresiasi terhadap komitmen, pencapaian serta sumbangan warga SEFB dalam bidang akademik, penyelidikan, penerbitan, pengurusan dan perkhidmatan.

Dalam ucapan perasmian, Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Rasidah binti Mohd Rashid, mengetengahkan tema “Kecemerlangan dengan Jiwa” sebagai inti pati majlis yang membawa mesej bahawa kecemerlangan tidak semata-mata diukur melalui angka, pencapaian dan pengiktirafan, tetapi turut dibina melalui komitmen, kerjasama, keikhlasan serta kesungguhan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab.
Menurut beliau, setiap pencapaian yang diraih SEFB merupakan hasil usaha bersama seluruh warganya yang saling melengkapi dan memainkan peranan masing-masing dalam mengangkat kecemerlangan sekolah.
Antara acara kemuncak majlis ialah penyampaian anugerah kepada warga SEFB sebagai penghargaan atas pencapaian, dedikasi dan komitmen yang telah ditunjukkan sepanjang tahun 2025.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu khas, Yang Berbahagia Prof. Dato’ Seri Yusuf Taiyoob, Profesor Adjung SEFB, yang sentiasa memberikan sokongan dan sumbangan bermakna terhadap pembangunan serta kecemerlangan SEFB.
Sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan beliau, Anugerah Khas Wira Budi Bakti SEFB telah disampaikan kepada Prof. Dato’ Seri Yusuf Taiyoob.
Turut menerima pengiktirafan khas ialah Prof. Madya Dr. Bakti bin Hasan Basri menerusi Anugerah Khas Sanjungan Budi SEFB, sebagai penghargaan atas sumbangan, jasa dan sokongan beliau kepada SEFB.
Selain meraikan pencapaian, Majlis Apresiasi SEFB 2026 turut menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim dan memperkukuh semangat kekitaan dalam kalangan warga akademik dan pentadbiran.

Dalam suasana penuh harmoni dan penghargaan, warga SEFB berpeluang bersama-sama meraikan kejayaan, berkongsi kegembiraan serta memperkukuh hubungan sebagai sebuah pasukan yang bersatu dalam menggalas aspirasi dan hala tuju SEFB.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada pihak pengurusan SEFB, tetamu khas, seluruh jawatankuasa serta warga SEFB atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan Majlis Apresiasi SEFB 2026.
Semoga penganjuran majlis sebegini terus menjadi wadah untuk menyemai budaya saling menghargai, memperkukuh semangat kebersamaan dan menyuntik motivasi kepada seluruh warga SEFB untuk terus melakar kecemerlangan, dengan jiwa, integriti dan semangat kebersamaan pada masa hadapan. – Dr. Norzahirah Mat



