Aspirasi menjulang ilmu, mengakar adab perkukuh sinergi penyelidikan dan kolaborasi antarabangsa pensyarah SOE
Berita dan gambar oleh: School of Education (SOE)
SINTOK, KEDAH – Aspirasi Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk Menjulang Ilmu, Mengakar Adab, disokong oleh sinergi pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) dalam memperkukuh budaya penyelidikan dan pengantarabangsaan, terus membuahkan hasil apabila dua pensyarah daripada School of Education (SOE) berjaya menghasilkan tiga penerbitan dalam jurnal Web of Science (WoS) SSCI, Quartile 1 (Q1) menerusi kolaborasi penyelidikan bersama sarjana daripada universiti yang berada dalam kelompok terbaik dunia.
Prof. Madya Dr. Norliza Kushairi berjaya menerbitkan artikel dalam sebuah jurnal Web of Science (WoS), SSCI Quartile 1 (Q1) terbitan Springer Nature hasil kolaborasi bersama Prof. Susan L. Robertson, Professor, Faculty of Education, University of Cambridge, United Kingdom.

Mengimbau pengalaman sepanjang menjayakan kolaborasi penyelidikan tersebut, Prof. Madya Dr. Norliza Kushairi berkata kolaborasi penyelidikan di peringkat antarabangsa merupakan satu cabaran yang menuntut komitmen tinggi, ketekunan dan cara komunikasi dalam kalangan penyelidik daripada institusi bertaraf dunia.
“Kolaborasi penyelidikan antarabangsa sememangnya mencabar dan ada ketika hampir membuatkan saya berputus asa. Namun, setiap cabaran menjadi pengalaman berharga yang mengukuhkan semangat untuk terus menyumbang kepada pembangunan ilmu.”

Beliau berkata, pengalaman bekerjasama dengan sarjana antarabangsa turut mengubah perspektif beliau terhadap makna sebenar kolaborasi akademik.
“Apa yang paling memberi inspirasi ialah sikap profesional, terbuka dan saling menghormati dalam kalangan rakan kolaborasi antarabangsa. Pengalaman ini mengajar kami bahawa penyelidikan berkualiti lahir daripada kepercayaan, perkongsian ilmu dan kesediaan untuk belajar antara satu sama lain,” tambah beliau.
Turut mencatat kejayaan ialah Prof. Madya Dr. Mohd Faiz Mohd Yaakob, yang berjaya menerbitkan dua artikel dalam jurnal Web of Science (WoS) SSCI, Quartile 1 (Q1) menerusi kolaborasi penyelidikan bersama sarjana daripada dua universiti yang berada dalam kelompok terbaik dunia.
Artikel pertama dihasilkan bersama Prof. Dr. Stephen May, Professor, Faculty of Arts and Education, University of Auckland, New Zealand, manakala artikel kedua merupakan hasil kolaborasi bersama Assoc. Prof. Dr. Obaid Hamid, School of Education, Faculty of Humanities, Arts and Social Sciences, University of Queensland, Brisbane, Australia.Prof. Madya Dr. Mohd Faiz Mohd Yaakob berkata, pengalaman bekerjasama dengan sarjana antarabangsa membuka ruang kepada pertukaran idea, perkongsian kepakaran dan penghasilan penyelidikan yang lebih berkualiti.
“Kolaborasi ini lahir daripada peluang melalui program Pasca Kedoktoran yang membuka ruang kepada jaringan akademik global dan penerbitan berimpak tinggi. Kejayaan ini dibina atas perkongsian kepakaran, saling menghormati dan kerjasama dalam memartabatkan ilmu.”
Selain itu,beliau berkata
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UUM atas peluang mengikuti program Pasca Kedoktoran yang membuka raung pembangunan kelengkapan kepakaran dan pengantarabangsaan. Peluang ini telah membuka potensi kepada kolaborasi bersama sarjana daripada universiti yang berada dalam terbaik dunia, sekali gus memperkukuh jaringan akademik”. katanya.
Sokongan berterusan UUM, khususnya School of Education (SOE), Research Management Centre (RMC) dan pihak pengurusan universiti telah mewujudkan ekosistem penyelidikan yang kondusif. Sinergi ini memperkukuh keupayaan penyelidik menghasilkan penerbitan berimpak tinggi serta meningkatkan keterlihatan dan reputasi UUM di peringkat antarabangsa, selaras dengan aspirasi Menjulang Ilmu, Mengakar Adab dan falsafah Ilmu, Budi, Bakti.


