UUM perkukuh jalinan industri bersama Perodua melalui program School of Hard Knocks
Berita dan gambar oleh: Dr. Aidanajwa Binti Sabri
Rawang, 7 Ogos 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan usaha memperkukuh jaringan strategik universiti–industri menerusi lawatan jalinan kerjasama ke Perodua bagi meneroka potensi kolaborasi melalui Program School of Hard Knocks (SoHK).
Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada peluang kerjasama dalam aspek pembangunan bakat, kebolehpasaran graduan, peningkatan kompetensi serta pendedahan pelajar kepada keperluan sebenar industri automotif.
UUM diwakili oleh Dr. Fikriyah Abdullah, Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) UUM, serta Dr. Aidanajwa Sabri, Penyelaras Program School of Hard Knocks UUM.

Pihak Perodua pula diwakili oleh Puan Mariam Ibrahim, Senior General Manager, Learning and Development Division, Puan Sulasi Mahadi, General Manager, Corporate Relations and Communications Division, serta En. Sharul Faizal Sharudin, Deputy General Manager, Learning and Development Division.
Dr. Fikriyah berkata, penglibatan industri dalam pembangunan pelajar amat penting bagi memastikan graduan bukan sahaja memiliki pengetahuan akademik, tetapi turut mempunyai kompetensi, kemahiran profesional dan kesiapsiagaan yang diperlukan oleh majikan.
“Program School of Hard Knocks memberi ruang kepada pelajar untuk mendapatkan pendedahan secara lebih dekat dengan industri, memahami jangkaan majikan serta membina kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan.
“Kerjasama bersama organisasi seperti Perodua sangat signifikan kerana ia dapat menghubungkan pengalaman pembelajaran pelajar dengan realiti sebenar dunia pekerjaan dan seterusnya membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan UUM,” katanya.
Dalam sesi perbincangan tersebut, pihak Perodua menyatakan minat untuk terlibat dalam Program SoHK pada semester akan datang, dengan cadangan awal pelaksanaan sekitar Oktober 2026, tertakluk kepada penyelarasan lanjut antara kedua-dua pihak.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada bentuk penglibatan yang bersesuaian dengan kepakaran dan pengalaman Perodua dalam bidang pembangunan sumber manusia, latihan serta pembangunan bakat.
Penglibatan Perodua dalam SoHK dilihat berpotensi memberi manfaat besar kepada pelajar melalui pendedahan kepada persekitaran industri automotif, budaya kerja korporat, pembangunan kompetensi serta pemahaman yang lebih baik mengenai kualiti dan kemahiran yang diperlukan oleh majikan.
Selain itu, kerjasama ini turut membuka ruang kepada pelaksanaan program pembangunan bakat, perkongsian pengalaman industri, persediaan kerjaya serta inisiatif lain yang dapat membantu pelajar meningkatkan daya saing sebelum memasuki pasaran pekerjaan.
UUM berharap perbincangan awal ini dapat diterjemahkan kepada kerjasama yang lebih tersusun dan berimpak pada masa hadapan, khususnya dalam memperkukuh ekosistem kebolehpasaran graduan serta hubungan strategik antara universiti dan industri.
Melalui jaringan bersama Perodua, Program SoHK diharap dapat terus berkembang sebagai platform yang menghubungkan pelajar dengan industri dan seterusnya melahirkan graduan yang lebih kompeten, bersedia dan berdaya saing.



