Education

Bengkel pemantapan penyediaan silibus kursus kokurikulum Pulau Langkawi

Berita dan gambar oleh: Nurul Izzatiey Syafiqah Jamaludin (Pelajar Praktikum UUM)

LANGKAWI, 30 Julai – 2 Ogos 2026: Pusat Kokurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Penyediaan Silibus Kursus Kokurikulum bertempat di Delta Chenang Resort, Pulau Langkawi, Kedah.

Bengkel ini diselia oleh Pengarah Pusat Kokurikulum, Dr. Za’im bin Ahmad, bersama Timbalan Pengarah Akademik, Prof. Madya Dr. Rohani binti Abdullah, serta melibatkan seramai 7 orang Penyelaras Unit Kokurikulum, staf pentadbiran, dan urusetia.

Selain daripada pemantapan silibus sedia ada, bengkel ini turut menumpukan perhatian kepada sesi khas merangka dan menyemak kertas kerja bagi penawaran kursus-kursus baharu kokurikulum untuk unit yang terlibat serta mewujudkan silibus rasmi bagi kursus yang masih belum mempunyai dokumentasi lengkap.

Malah, perbincangan turut diperluaskan kepada perancangan dan penyediaan modul bagi pelaksanaan kursus profesional jangka pendek di bawah seliaan Pusat Kokurikulum.

Penganjuran bengkel ini merupakan satu langkah strategik Pusat Kokurikulum dalam memastikan pelaksanaan kursus kokurikulum berjalan secara bersistematik, seragam, dan sentiasa relevan dengan keperluan akademik universiti.

Seiring dengan perubahan struktur kurikulum universiti yang melibatkan penyesuaian dan pengurangan jam kredit daripada empat kepada dua kredit, semakan komprehensif perlu dilaksanakan agar kandungan kursus kekal padat, berfokus, serta mencapai hasil pembelajaran yang ditetapkan.

Sepanjang program ini, perbincangan berfokus dan sesi semakan intensif telah dijalankan secara berstruktur bersama para Penyelaras Unit Kokurikulum. Fokus utama perbincangan merangkumi penyeragaman format dokumen rasmi, pemantapan Rangka Kerja Pendidikan Berasaskan Hasil atau Outcome-Based Education (OBE), serta pemurnian rubrik penilaian dan Hasil Pembelajaran Kursus (CLO).

Penjajaran konstruktif turut diperkemas bagi memastikan setiap kursus mempunyai struktur pengajaran dan pentaksiran yang jelas demi mengelakkan sebarang pertindihan kandungan.

Di samping itu, penyediaan silibus dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris diberikan penekanan khas bagi meningkatkan kebolehcapaian serta menyokong aspirasi pengantarabangsaan universiti. Langkah pemantapan dokumentasi ini juga secara langsung memenuhi kriteria serta piawaian audit Malaysian Qualifications Agency (MQA).

Secara keseluruhannya, Bengkel Pemantapan Penyediaan Silibus ini berjaya mencapai objektifnya dalam memuktamadkan dokumen silibus yang berkualiti tinggi. Komitmen berterusan ini diharapkan dapat memperkasakan mutu pengajaran dan pembelajaran kokurikulum di UUM, seterusnya melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing, dan berintegriti tinggi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button