Campus

Staf Pusat Kokurikulum semarak bulan kemerdekaan, perkukuh iltizam dan semangat Malaysia MADANI

Berita dan gambar oleh: Nur Khairiel Anuar

SINTOK, 11 Ogos 2026 – Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan 2026, warga kerja Pusat Kokurikulum, Universiti Utara Malaysia (UUM) mengambil inisiatif menyemarakkan semangat patriotisme melalui aktiviti persiapan dan menceriakan persekitaran Pusat Kokurikulum bagi menyambut Hari Kebangsaan yang bakal diraikan tidak lama lagi.

Aktiviti yang dilaksanakan pada 11 Ogos 2026 bertempat di sekitar Pusat Kokurikulum itu melibatkan penglibatan aktif staf dalam kerja-kerja menghias, menyusun dan memperindah kawasan dengan elemen kenegaraan, termasuk pemasangan Jalur Gemilang dan dekorasi bertemakan kemerdekaan.

Inisiatif tersebut bukan sekadar bertujuan menceriakan persekitaran tempat kerja, malah menjadi wadah untuk memperkukuh iltizam warga Pusat Kokurikulum dalam membina budaya kerja yang positif, bersatu padu dan berteraskan semangat kebersamaan.

Menurut Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, Dr. Za’im Ahmad, sambutan Bulan Kemerdekaan wajar dilihat sebagai ruang untuk warga universiti menghayati kembali nilai patriotisme, perpaduan dan tanggungjawab bersama dalam membangunkan negara.

“Kemerdekaan bukan sekadar tentang mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi tentang iltizam untuk terus memberikan yang terbaik kepada universiti dan negara. Setiap usaha kecil yang kita lakukan bersama mencerminkan semangat kebersamaan, kecintaan kepada negara dan tanggungjawab kita sebagai warga UUM.”

Beliau turut menegaskan bahawa aktiviti sebegini selari dengan pendekatan pembangunan holistik yang menjadi antara nilai penting dalam pembentukan warga universiti, khususnya dalam membudayakan kerjasama, kreativiti, kepimpinan dan rasa tanggungjawab dalam kalangan staf.

“Semangat kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui tindakan. Kita mahu membina warga yang bukan sahaja cemerlang dalam tugas masing-masing, tetapi mempunyai jati diri, semangat kekitaan dan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial serta alam sekitar,” katanya.

Dalam masa yang sama, usaha menceriakan kawasan Pusat Kokurikulum turut mengambil kira elemen Environmental, Social and Governance (ESG), khususnya melalui amalan penggunaan sumber secara berhemah, pemeliharaan kebersihan dan persekitaran, penglibatan bersama warga kerja serta penerapan tadbir urus yang baik dalam melaksanakan aktiviti.

Pendekatan ini mencerminkan komitmen Pusat Kokurikulum untuk menyokong agenda kelestarian UUM dengan menjadikan persekitaran kerja sebagai ruang pembelajaran dan pembudayaan nilai yang positif.

Penglibatan staf secara bersama juga memperlihatkan bahawa semangat kemerdekaan mampu menjadi medium memperkukuh hubungan sesama warga kerja, sekali gus membentuk sebuah organisasi yang lebih inklusif, harmoni dan berdaya tahan.

Aktiviti persiapan sambutan ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi suasana Bulan Kemerdekaan di Pusat Kokurikulum, di samping menyuburkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia dan warga UUM.

“Iltizam Kita, Semangat Kita, Malaysia Kita.”

Semangat kemerdekaan terus disemarakkan bukan hanya melalui sambutan, tetapi melalui iltizam untuk berbakti, pembangunan insan secara holistik dan komitmen terhadap kelestarian demi masa depan universiti dan negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button