ASEMO@UUM 2026 Perkukuh Kepimpinan Belia ASEAN Melalui AI, Inovasi dan Kelestarian
Gambar Oleh: Hairul Nizam Zahari
SINTOK, KEDAH, 13 Ogos 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Centre for International Affairs and Cooperation (CIAC) menganjurkan ASEAN Student Experiential Mobility Programme (ASEMO) @ UUM 2026 yang menghimpunkan peserta dari rantau ASEAN bagi memperkaya pengalaman pembelajaran akademik, pertukaran budaya, pembangunan kepimpinan, inovasi dan penglibatan komuniti.

Bertemakan “Empowering ASEAN Youth Leaders: AI, Innovation and Sustainability”, program ini memberi penekanan kepada pembangunan belia ASEAN melalui penerokaan kecerdasan buatan (AI), inovasi dan kelestarian, di samping memperkukuh kerjasama serta hubungan rentas budaya.

Pengarah Centre for International Affairs and Cooperation (CIAC), Prof. Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin, berkata program tersebut memberi peluang kepada peserta untuk mengikuti sesi akademik berkaitan AI, inovasi dan kelestarian, selain menyertai aktiviti kolaboratif bagi memperkukuh kemahiran mendengar, berunding dan menyelesaikan masalah.
Menurut beliau, aspek pertukaran budaya turut menjadi antara pengisian utama program apabila peserta berpeluang berkongsi warisan dan budaya negara masing-masing, selain membina jaringan profesional serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan dan mobiliti pada masa hadapan.

Beliau turut memaklumkan bahawa pelaksanaan program ini mendapat kerjasama pelbagai pihak di UUM, termasuk Jabatan Hal Ehwal Pelajar serta pusat-pusat pengajian berkaitan bidang pengurusan, ekonomi, teknologi dan logistik serta pengkomputeran.
ASEMO@UUM 2026 turut menjadi platform untuk memperkukuh jaringan antarabangsa dan hubungan serantau melalui perkongsian ilmu, pengalaman serta budaya dalam kalangan pelajar ASEAN. – Noor Zafiera Ahmad Idris



