KIRAMART KE SEKOLAH: MATEMATIK JADI LEBIH MENYERONOKKAN!
Berita oleh: Ros Idayuwati Alaudin
Gambar oleh: Pasukan SQS dan ICC, UUM
Kodiang, 4 November 2026 – Seramai 50 murid Tahap 2 Sekolah Kebangsaan Manggol Bongor, Kodiang, Kedah berpeluang merasai pengalaman membeli-belah menggunakan wang simulasi menerusi program Bright ShopSmart: Kira, Pilih & Beli. Program ini dilaksanakan oleh Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC), UUM.
Program ini merupakan sebahagian daripada Program Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) 100³ Tahun 2026 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Program ini turut menyokong pelaksanaan tanggungjawab sosial universiti (USR) UUM melalui pemindahan ilmu dan perkongsian kepakaran bersama-sama komuniti sekolah.
Inisiatif yang diketuai oleh Dr. Ros Idayuwati Alaudin ini turut melibatkan empat ahli pasukan SQS, iaitu Dr. Ayu Abdul Rahman, Puan Yuhaniz Ahmad, Puan Norhafiza Mohd Noor dan Cik Zakiah Hashim yang bersama-sama merancang serta mengendalikan aktiviti pembelajaran.

Turut hadir menjayakan program ini ialah Timbalan Pengarah (Pengkomersilan) ICC UUM, Prof. Madya Dr. Wan Norhayati Wan Ahmad, dan Timbalan Pengarah (Inovasi) ICC UUM, Prof. Madya Dr. Nor Azlina binti Mohd Noor, bersama-sama enam orang staf ICC yang turut membantu pelaksanaan aktiviti, di samping memberikan sumbangan hadiah dan makanan bagi menyokong kelancaran program.
Menerusi permainan Bright ShopSmart, murid dicabar untuk menyelesaikan soalan matematik secara berkumpulan bagi mengumpul wang simulasi sebelum menggunakannya untuk membeli pelbagai barangan. Aktiviti ini bukan sahaja menguji kecekapan mengira, malah menggalakkan murid merancang strategi, mengurus masa, membuat keputusan pembelian dan bekerjasama dalam kumpulan.

Suasana pembelajaran menjadi lebih menarik apabila murid perlu memilih antara menjawab soalan dengan ganjaran berbeza atau menggunakan wang yang dikumpulkan untuk mendapatkan barangan pilihan mereka dalam tempoh permainan yang ditetapkan.
Guru Besar SK Manggol Bongor, Encik Mahazir bin Ramlee, menyambut baik pelaksanaan program ini. Beliau berpandangan bahawa pihak sekolah wajar memanfaatkan kepakaran universiti berhampiran seperti UUM bagi memperkaya pengalaman pembelajaran murid serta memperkukuh hubungan antara sekolah dengan institusi pengajian tinggi.
Kerjasama pihak sekolah turut diterjemahkan melalui penglibatan guru sebagai juri yang menilai pencapaian murid berdasarkan aspek kerjasama, kreativiti, disiplin dan kecekapan sepanjang aktiviti dijalankan.

Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan permainan (game-based learning), program ini memberi peluang kepada murid untuk mengaplikasikan pengetahuan matematik dalam situasi kehidupan sebenar, di samping mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.
Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen SQS dan ICC UUM dalam memperkukuh tanggungjawab sosial universiti melalui pemindahan ilmu, di samping menyokong aspirasi STI 100³ MOSTI untuk membudayakan STEM dalam kalangan generasi muda.



