Campus

ISSAD-UUM BANTU MUIP BANGUNKAN KERANGKA PELAKSANAAN SDG-ESG BERTERASKAN MAQASID SYARIAH

Berita dan gambar oleh: PM Dr. Hazeline Ayoup

PEKAN, 29 Oktober 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Institut Kajian Strategik dan Pembangunan Perakaunan Mampan (ISSAD-UUM) terus memperkukuh peranannya dalam bidang kelestarian dan tadbir urus institusi Islam menerusi penganjuran Bengkel Pembangunan Kerangka Pelaksanaan SDG-ESG Berteraskan Maqasid Syariah untuk Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang berlangsung pada 28 hingga 29 Oktober 2026 di MUIP, Pekan, Pahang.

Bengkel selama dua hari itu bertujuan membangunkan kerangka pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) berteraskan prinsip Maqasid Syariah yang selaras dengan fungsi, tanggungjawab dan hala tuju strategik MUIP. Tiga pakar akademik UUM, iaitu Profesor Madya Dr. Wan Norhayati Wan Ahmad, Profesor Dr. Natrah Saad dan Profesor Madya Dr. Hazeline Ayoup telah berkongsi kepakaran serta membimbing peserta dalam proses pembangunan kerangka berkenaan.

Menurut Ketua Projek, Profesor Madya Dr. Wan Norhayati Wan Ahmad, pembangunan kerangka tersebut merupakan langkah strategik bagi membantu MUIP mengintegrasikan agenda kelestarian dengan prinsip Maqasid Syariah secara lebih sistematik dan bersepadu. “Kerangka ini diharap dapat membantu MUIP memperkukuh tadbir urus, meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program serta memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi impak yang bermakna kepada kesejahteraan ummah. “Kami juga berharap pendekatan ini berpotensi menjadi model rujukan kepada institusi agama Islam lain dalam melaksanakan agenda kelestarian yang berteraskan nilai dan prinsip Islam,” katanya.

Sepanjang bengkel, peserta dibimbing untuk menyelaraskan program dan inisiatif sedia ada MUIP dengan elemen SDG, ESG dan Maqasid Syariah, di samping mengenal pasti keutamaan kelestarian yang bersesuaian dengan peranan institusi berkenaan. Melalui sesi perbincangan dan aktiviti berkumpulan, penekanan turut diberikan kepada penjajaran inisiatif kelestarian dengan hala tuju organisasi serta pembangunan indikator bagi mengukur pencapaian dan impak pelaksanaan program.

Kerangka yang dibangunkan diharap dapat menjadi panduan kepada MUIP dalam melaksanakan agenda kelestarian secara lebih terancang dan berorientasikan impak, dengan mengambil kira keseimbangan antara kecekapan tadbir urus, kesejahteraan sosial dan pemeliharaan alam sekitar berlandaskan prinsip Maqasid Syariah.

Bengkel ini merupakan sebahagian daripada projek perundingan ISSAD-UUM yang turut melibatkan Profesor Madya Dr. Ku Maisurah Ku Bahador, Profesor Madya Dr. Azharudin Ali, Dr. Adura Ahmad dan Profesor Madya Dr. Mohamad Khadafi Hj. Rofie sebagai ahli pasukan projek. Pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen UUM dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi luar melalui pemindahan ilmu dan kepakaran akademik bagi menghasilkan penyelesaian praktikal yang memberi nilai tambah kepada organisasi.

Kerjasama antara UUM dan MUIP ini juga diharap dapat membuka ruang kepada pembangunan model kelestarian institusi Islam yang lebih menyeluruh, sekali gus menjadi rujukan kepada institusi agama Islam lain di Malaysia dalam memperkukuh tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan berteraskan Maqasid Syariah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button