CEDI: 50 PELAJAR UUM RAIH PELUANG PENSIJILAN PROFESIONAL KREATIF MEDIA MELALUI KERJASAMA MDEC
Berita oleh: Dr Mohamad Hanif Abu Hassan
Gambar oleh: En Akmal Ahlami Md Rozai & Pn Kaswizawati Md Basir
SINTOK – Institut Pembangunan Pelajar dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM), dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), telah berjaya melaksanakan Program Peningkatan Skill Keusahawanan Digital Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (PSKD) bagi Workstream: Kreatif Media pada 25 hingga 31 Oktober 2026 bertempat di Bilik Latihan CEDI, UUM.

Program yang melibatkan seramai 50 orang pelajar UUM ini berteraskan latihan dan pensijilan profesional sebagai salah satu inisiatif strategik dalam memperkasakan kemahiran keusahawanan digital pelajar, khususnya dalam bidang kreatif media, selaras dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri digital masa kini.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah CEDI (Latihan dan Pembangunan Usahawan Pelajar), Dr. Saiful Azizi Ismail, yang mewakili Pengarah CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar.
Penganjuran program ini bertujuan melengkapkan peserta dengan pengetahuan, kemahiran teknikal dan pengalaman praktikal dalam bidang kreatif media, di samping memberi penekanan terhadap pensijilan profesional yang diiktiraf industri. Pensijilan ini diharapkan dapat menjadi nilai tambah kepada peserta dalam meningkatkan daya saing, memperkukuh portfolio profesional serta memperluas peluang kerjaya dan keusahawanan dalam ekonomi digital.

Sepanjang tujuh hari pelaksanaan, kesemua 50 peserta mengikuti sesi latihan intensif dan bimbingan secara praktikal yang dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman. Pengisian program memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran kreatif media yang boleh diaplikasikan dalam penghasilan kandungan digital, strategi pemasaran, penjenamaan serta pembangunan perniagaan berasaskan platform digital.
Selain memperkukuh kompetensi teknikal, program ini turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai potensi menjana pendapatan melalui aktiviti keusahawanan digital, termasuk peluang sebagai pekerja bebas (freelancer) dan penyedia perkhidmatan kreatif yang semakin mendapat permintaan dalam pasaran semasa.

Kejayaan pelaksanaan program ini turut didukung oleh sokongan dan komitmen Pengarah CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar, dalam memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan dan kebolehpasaran pelajar UUM.
Program ini telah diselaraskan oleh Timbalan Pengarah CEDI (Penyelidikan dan Jaringan Industri), Dr. Mohamad Hanif Abu Hassan, selaku Pegawai Penyelaras Program (Person in Charge – PIC), yang bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan program serta kerjasama strategik bersama pihak MDEC.
Penghargaan turut diberikan kepada Ts. Muhammad Azrie Husainy bin Mohd Jasri, Pengurus Bahagian Latihan, selaku wakil MDEC, atas kerjasama, komitmen dan sokongan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program. Kerjasama strategik antara CEDI dan MDEC ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam melahirkan bakat digital yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi kehendak industri.

Sepanjang program berlangsung, sesi latihan dan bimbingan telah dikendalikan oleh tiga jurulatih, iaitu En. Muhammad Hazim bin Norlee, Pn. Nurul Najibah binti Md Azzemi dan Pn. Siti Syahirah binti Abu Talib.
Kepakaran, komitmen serta bimbingan yang diberikan oleh barisan jurulatih telah membantu meningkatkan kefahaman, kemahiran praktikal dan keyakinan peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh.
Setinggi-tinggi penghargaan turut dirakamkan kepada seluruh urus setia dan staf CEDI, wakil MDEC serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program ini.

Penganjuran PSKD melalui Workstream: Kreatif Media yang melibatkan 50 pelajar UUM ini membuktikan komitmen berterusan CEDI dalam memperkasakan pembangunan bakat, kemahiran profesional dan keusahawanan digital dalam kalangan pelajar.
Melalui kerjasama strategik bersama MDEC, CEDI berhasrat untuk terus memperluas pelaksanaan program latihan berimpak tinggi yang berorientasikan pensijilan profesional, sekali gus melahirkan graduan yang bukan sahaja bersedia memenuhi keperluan pasaran pekerjaan, malah berupaya mencipta peluang pekerjaan dan membangunkan perniagaan sendiri dalam ekosistem ekonomi digital negara.



