TIGA PENYELIDIK UUM TERIMA WATIKAH PELANTIKAN PROJEK GALERI ULAMA KODIANG DARIPADA MUFTI KEDAH
Gambar: Dr. Mohd Murshidi Mohd Noor
KODIANG, 9 November 2026 – Tiga ahli akademik Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima watikah pelantikan sebagai penyelidik Projek Galeri Ulama Kodiang sempena Majlis Haul 3 Tok Guru Kodiang yang berlangsung di Surau Pondok Hutan Palas, Kodiang, Kedah, selepas solat Maghrib.

Watikah pelantikan tersebut telah disampaikan oleh Sahibus Samahah Dato’ Paduka Syeikh Fadzil bin Haji Awang, Mufti Negeri Kedah, kepada Prof. Dr. Abdul Halim bin Abdul Majid selaku Ketua Projek, Dr. Mohd Murshidi bin Mohd Noor dan Dr. Amirul Haqeem bin Abd Ghani selaku ahli penyelidik.
Menariknya, ketiga-tiga ahli akademik berkenaan turut terlibat dalam pengurusan Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), UUM, sekali gus memperlihatkan penglibatan warga institut tersebut dalam aktiviti penyelidikan dan khidmat komuniti di luar bidang zakat.
Pelantikan ini merupakan sebahagian daripada kerjasama antara Yayasan al-Riyaadah, Kodiang dengan penyelidik UUM dalam usaha menjalankan penyelidikan serta pendokumentasian sejarah, ketokohan dan sumbangan ulama tempatan.

Projek Galeri Ulama Kodiang memberikan tumpuan kepada tiga tokoh ulama, iaitu *Tuan Guru Lebai Isa Kodiang, Tuan Guru Haji Ahmad bin Othman dan Tuan Guru Haji Chik Kodiang*.
Penyelidikan yang dijadualkan berlangsung selama setahun, bermula 1 Disember 2026 hingga 30 November 2027, bertujuan meneliti latar belakang kehidupan, pendidikan, ketokohan serta sumbangan ketiga-tiga ulama berkenaan terhadap perkembangan pendidikan dan dakwah Islam di Kodiang khususnya serta negeri Kedah amnya.
Hasil penyelidikan tersebut akan dijadikan asas kepada pembangunan Galeri Ulama Kodiang sebagai pusat dokumentasi dan rujukan sejarah bagi memelihara warisan keilmuan Islam untuk generasi akan datang.
Selain tiga penyelidik yang hadir, pasukan penyelidik projek ini turut dianggotai oleh Prof. Madya Dr. Muhamad Noor Habibi bin Haji Long, Azizan bin Ismail @ Ariffin dan Saifull Nizam bin Saidon, yang juga merupakan warga UUM.
Inisiatif yang digerakkan oleh Yayasan al-Riyaadah ini mencerminkan kepentingan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dengan organisasi masyarakat dalam usaha memelihara khazanah sejarah dan memperkasa penyelidikan berkaitan warisan intelektual Islam.
Penglibatan ahli akademik UUM dalam projek ini turut membuktikan komitmen universiti untuk menyumbang kepakaran penyelidikan kepada masyarakat, khususnya dalam usaha mendokumentasikan sejarah dan memartabatkan warisan ulama tempatan. – Dr. Amirul Haqeem Bin Abd Ghani



